WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan ahli senat daripada parti Republikan dan Demokrat mencapai persetujuan untuk meneruskan sebahagian daripada pakej pembiayaan kerajaan persekutuan.
Senator daripada kedua-dua pihak bersetuju dengan pakej membabitkan lima rang undang-undang perbelanjaan pada Khamis.
Bagaimanapun, mereka bertindak mengeluarkan rang undang-undang keenam berkaitan pembiayaan Jabatan Keselamatan Tanah Air (DHS), menurut laporan CBS News.
Pembiayaan bagi DHS akan diteruskan mengikut jumlah semasa untuk tempoh dua minggu lagi sementara kedua-dua pihak merangka perjanjian baharu bagi membiayai agensi tersebut.
“Diharapkan kedua-dua pihak Republikan dan Demokrat akan memberikan undi ‘YA’ dwipartisan yang sangat diperlukan ini,” tulis Trump menerusi hantaran di media sosial menyokong penuh perjanjian berkenaan.
Perjanjian itu meluluskan pembiayaan bagi Jabatan Pertahanan, Jabatan Kesihatan, Perbendaharaan, sistem mahkamah persekutuan, dan agensi lain sehingga tamat tahun kewangan 2026 pada 30 September depan.
“Ahli Kongres daripada Republikan dan Demokrat telah bersatu untuk memastikan sebahagian besar kerajaan dibiayai sehingga September.
“Pada masa sama, mereka memberikan pelanjutan pembiayaan kepada DHS termasuk Pengawal Pantai yang amat penting,” tambah Trump.
Pihak Demokrat sebelum ini mendesak agar pembiayaan bagi DHS dikeluarkan daripada pakej perbelanjaan persekutuan bernilai AS$1.2 trilion (RM4.7 trilion).
Desakan itu memuncak selepas ejen persekutuan menembak mati rakyat AS kedua di Minneapolis dalam tempoh singkat.
DHS merupakan jabatan gergasi yang merangkumi pelbagai agensi termasuk Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP), Pengawal Pantai, serta Perkhidmatan Rahsia.
Ribuan ejen persekutuan daripada ICE dan CBP telah dikerahkan ke Minnesota sebagai sebahagian daripada tindakan keras imigresen oleh pentadbiran Trump di negeri tersebut.
Di Minneapolis, seorang ejen ICE menembak mati Renee Good, 37, pada 7 Januari lalu, manakala seorang pegawai Rondaan Sempadan menembak mati Alex Pretti, 37, pada 24 Januari.
Kedua-dua insiden itu, bersama operasi imigresen yang sedang berlanjutan, mencetuskan protes di seluruh negara.
Insiden tembakan kedua itu menyebabkan pihak Demokrat dan sebilangan ahli Republikan mula menolak pelulusan dana bagi DHS.
Antara perubahan yang dituntut oleh Demokrat termasuklah keperluan untuk ejen persekutuan mendapatkan waran sebelum melakukan tangkapan dan peraturan yang lebih jelas mengenai cara mereka memperkenalkan identiti diri.
Pada Rabu, beberapa ahli senat Demokrat mempertingkatkan tuntutan mereka dengan mendesak penyingkiran Setiausaha DHS, Kristi Noem, serta perubahan struktur terhadap ICE dan CBP.
“Kegilaan ini, keganasan ini mesti dihentikan,” tegas Pemimpin Minoriti Senat, Chuck Schumer.
Bagaimanapun, beberapa ahli Republikan membantah desakan tersebut dengan menyatakan sebarang perubahan tidak seharusnya dilakukan sehingga menyebabkan penutupan operasi kerajaan.










