Mengapa Orang Asli tolak pindaan Akta 134?

Mengapa Orang Asli tolak pindaan Akta 134?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, gabungan 15 pertubuhan dan individu berkaitan Orang Asli menolak cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Selepas sesi libat urus pada 22 Januari lalu, mereka meminta proses pindaan ditangguhkan sehingga isu pengiktirafan tanah dan wilayah adat Orang Asli diperincikan dengan jelas dan kukuh di sisi undang-undang.

Umum mengetahui, draf pindaan Akta 134 dijadualkan untuk dibentang di Parlimen pada Mac ini, sebagaimana dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 1 Julai 2025.

Akta ini pernah dipinda pada 1967 dan kali terakhir dipinda pada 1974.

Kerajaan kini dalam proses memperhalusi peruntukan sedia ada selain mengenal pasti jurang yang wujud demi memastikan hak dan pembangunan Orang Asli terus terjamin.

Kita perlu faham hakikat Akta 134 digubal pada 1954 dengan tujuan utama melindungi Orang Asli daripada ancaman komunis pada zaman darurat. Maka, tentulah banyak perkara berkaitan tanah adat, hal ehwal kebajikan, perkahwinan adat dan tadbir urus kepimpinan tradisi komuniti itu perlu dikaji semula dan diperkasakan.

Pada 10 Disember 2025, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memberitahu Dewan Negara, kementeriannya mendapatkan maklum balas daripada 1,336 responden merangkumi pelbagai pihak berkepentingan dalam kajian semakan dan pindaan akta. Namun, nampaknya Orang Asli sendiri tidak berpuas hati dengan hasil dapatan.

Dalam rencana bertajuk Akta Orang Asli perlu diperkukuh (Utusan Malaysia, 27 Januari 2024), dinyatakan bagaimana Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membahagikan kominiti ini kepada tiga suku kaum utama iaitu Negrito (Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq, Lanoh), Senoi (Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semaq Beri, Mah Meri) dan Melayu Proto (Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kuala, Orang Seletar, Orang Kanaq).

 

SEMAKAN dan pindaan Akta Orang Asli 1954 wajar dilakukan dengan lebih teliti, telus dan berteraskan suara golongan itu.

 

Wajarlah kita mengambil tahu kandungan Akta 134 dan memahami bagaimana ia berfungsi melindungi kepentingan Orang Asli di Malaysia. Sekurang-kurangnya kita akan faham mengapa seksyen tertentu dalam akta berkenaan perlu dipinda untuk memperkasakan hak Orang Asli.

Seksyen 6 memperincikan perihal kawasan Orang Asli. Suatu kawasan dengan majoriti Orang Asli, sama ada satu suku kaum sahaja atau gabungan beberapa suku kaum, boleh diisytiharkan sebagai kawasan Orang Asli.

Apabila sudah diwartakan sebagai kawasan Orang Asli, maka tidak boleh lagi tanah itu diambil untuk dijadikan tanah rizab Melayu atau dijadikan kawasan perlindungan haiwan serta burung liar.

Termaktub juga dalam Akta 134, tanah Orang Asli tidak boleh diberikan dalam apa-apa cara termasuk dipajak atau dilupus kepada individu bukan Orang Asli dan mana-mana perusahaan komersial.

Lesen pemungutan hasil hutan di kawasan Orang Asli juga tidak boleh diberi kepada orang luar dan pengusaha komersial. Namun begitu, ada peruntukan khas tanah boleh diberi kepada orang luar dan lesen pemungutan hasil hutan boleh diberi selepas berunding dengan ketua pengarah JAKOA.

Seksyen 6 (3) memberi kuasa kepada kerajaan negeri membatalkan keseluruhan atau sebahagian kawasan Orang Asli. Tentulah perkara-perkara seperti ini tidak menjamin hak Orang Asli secara berkekalan kerana melibatkan kuasa politik.

Seksyen 7 memperincikan soal rizab Orang Asli iaitu tanah yang diduduki secara kekal oleh satu suku kaum atau etnik Orang Asli. Bagaimanapun, kerajaan negeri boleh membatalkan keseluruhan atau sebahagian kawasan rizab itu.

Kuasa dan peranan penting ketua pengarah juga ditekankan dalam Seksyen 9 berkaitan pindah milik, pajakan, gadai janji atau melupuskan mana-mana tanah milik Orang Asli. Sebarang urusan itu tanpa persetujuan ketua pengarah adalah tidak sah dan tidak terpakai.

Katakan suatu kawasan mahu diisytiharkan sebagai tanah rizab Melayu atau kawasan lindungan haiwan tetapi Orang Asli sudah sedia tinggal di situ walaupun bukan kawasan Orang Asli.

Seksyen 10 Akta 134 memberi perlindungan dengan menegaskan, Orang Asli terbabit berhak untuk terus bermastautin di kawasan terbabit.

Sekiranya kerajaan meminta mereka berpindah keluar, maka perlu dibayar pampasan. Apa-apa pun, ternyata Orang Asli tetap perlu akur jika diarah berpindah.

Sekali gus, pasti menimbulkan keresahan kepada Orang Asli kerana kedudukan mereka tidak terjamin. Maka, pasti mereka megharapkan pindangan akta yang lebih berpihak kepada melindungi hak Orang Asli.

Pampasan yang dinyatakan dalam Seksyen 12 tidak pula bermakna individu, keluarga atau masyarakat Orang Asli menerima wang berkenaan. Sebaliknya, kerajaan negeri boleh sahaja memutuskan untuk membayar pampasan itu kepada ketua pengarah untuk disimpan atau ditadbir mengikut cara ditetapkan menteri terbabit.

Berkaitan pemilihan ketua bagi masyarakat Orang Asli di sesuatu kawasan, Seksyen 16 memberi kuasa kepada ketua turun-temurun. Sekiranya tiada amalan ketua turun-temurun, maka masyarakat Orang Asli terbabit boleh memilih individu yang layak menjadi ketua.

Namun begitu, keterbatasan hak dan suara Orang Asli dalam menentukan pucuk pimpinan masih wujud kerana pemilihan ketua masyarakat Orang Asli masih tertakluk kepada pengesahan kuasa politik iaitu menteri. Malah, menteri ada kuasa memecat mana-mana ketua yang sudah dipilih masyarakat.

Seksyen 19 memberi kuasa mutlak kepada menteri menetapkan syarat pelantikan, kelayakan dan cara melantik ketua Orang Asli. Menteri juga diberi kuasa membenarkan serta mengawal selia kerja-kerja penebangan hutan di kawasan Orang Asli dan tanah rizab Orang Asli.

Satu lagi kuasa menteri yang mungkin dianggap kecil tetapi besar kesannya ialah hak menetapkan peraturan tentang istilah digunakan untuk merujuk kepada masyarakat Orang Asli di negara ini.

Kita perlu memahami dan menghormati kebimbangan disuarakan wakil Orang Asli berhubung semakan serta pindaan Akta 134. Tentu sahaja kita tidak mahu peribahasa ‘tikus membaiki labu’ atau ‘menang sabung, kampung tergadai’ berlaku kepada penduduk Orang Asli.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×