ADA sesuatu tentang warisan peranakan yang sentiasa terasa hidup. Ia tidak pernah terperangkap di muzium.
Ia bernafas melalui corak jubin lama, lengkung tingkap rumah nyonya, aroma rempah di dapur dan gaya nyonya membawa diri dengan tenang tetapi penuh keyakinan.
Untuk 2026, Fern mengambil semua memori itu dan memberinya nafas baharu melalui The Peranakan Series yang segar, relevan dan mudah untuk digayakan.
Diasaskan oleh Fern Chua pada tahun 2015, Fern bukan nama asing dalam landskap fesyen tempatan. Pemenang Fashion Pitch 2013 oleh MyCreative Ventures ini dikenali dengan sentuhan kontemporari yang halus terhadap warisan Malaysia.

The Peranakan Series terasa seperti surat cinta kepada masa lalu, ditulis semula untuk wanita hari ini yang bergerak pantas, berdikari dan tahu apa yang mereka mahukan.
Dari mini dress siang yang ringan, ke busana malam penuh dramatik, hinggalah separates yang mudah digayakan dan disuai padan.
Palet warnanya kaya dan tenang, seperti warna Gula Melaka, salmon lembut, merah hibiscus dan magenta yang berani tetapi matang.
Semua helaian direka daripada material semula jadi, mewah disentuh dan dihasilkan dengan teliti oleh artisan dalaman Fern.
Antara kegemaran peribadi saya ialah Wan Ya Blouse yang boleh dipadankan dengan Daphne Pants.
Wan Ya Blouse menampilkan kolar scallop yang feminin tanpa berlebihan, potongan oversized yang selesa dan lengan panjang yang fleksibel untuk pelbagai gaya.
Ia adalah blaus yang faham akan tubuh wanita.
Blaus ini memberi ruang untuk bergerak dan bernafas. Anda boleh memakainya ke pejabat dengan Daphne Pants kerana ia tampak profesional tanpa rasa kaku.

Untuk hujung minggu, buka satu dua butang, sarung dengan sandal kulit atau kasut rata dan biarkan gaya itu bercakap sendiri.
Daphne Pants pula adalah chino yang sangat selesa. Potongan pinggang tinggi, poket senget yang praktikal dan kaki seluar yang sedikit tirus menjadikannya sesuai dari mesyuarat pagi hingga temu janji kopi petang.
Tips gaya mudah, biarkan blaus masuk sedikit di bahagian depan sahaja untuk efek effortless chic. Tambah beg anyaman atau sling bag kecil untuk sentuhan santai yang sofistikated.
Satu lagi kombinasi yang mencuri perhatian saya ialah Wen Wen Blouse bersama Shuyi Flare Skirt. Wen Wen Blouse memadukan seni tangan dan struktur dengan sangat anggun.
Peony dilukis tangan pada lengan dalam merah dan magenta yang kaya, manakala kolar mandarin yang fleksibel boleh ditukar gaya. Ia feminin dan penuh karakter.

Dipadankan dengan Shuyi Skirt yang labuh dan mengalir, keseluruhan gaya ini terasa seperti penghormatan moden kepada sambutan Tahun Baharu Cina. Ia bukan sekadar untuk perayaan, tetapi untuk setiap hari di mana wanita mahu merasa istimewa.
Untuk gaya, biarkan skirt ini menjadi fokus. Padankan dengan kasut bertumit rendah atau mule ringkas. Rambut boleh dikemaskan atau dibiarkan jatuh semula jadi. Tidak perlu aksesori berat.
Kadangkala keyakinan itu sendiri sudah cukup sebagai perhiasan.
Apa yang membuatkan The Peranakan Series istimewa bukan hanya pada corak atau potongannya, tetapi pada perasaannya. Ia mengingatkan kita warisan bukan beban. Ia adalah akar yang memberi kekuatan.
Identiti moden tidak bermakna meninggalkan asal-usul. Dan feminin itu bukan tentang menjadi lembut semata-mata, tetapi tentang memilih bagaimana kita mahu dilihat dan dirasai.
Mungkin itu soalan yang tinggal di fikiran selepas melihat koleksi ini. Dalam dunia yang sentiasa mahu kita bergerak laju, bila kali terakhir kita berhenti sejenak dan bertanya, adakah gaya ini mencerminkan siapa saya sebenarnya?










