PARLIMEN: MOSTI sedia pelbagai geran bantu PKS tingkat inovasi, pasaran

PARLIMEN: MOSTI sedia pelbagai geran bantu PKS tingkat inovasi, pasaran

Mohammad Yusof Apdali - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan pelbagai geran dan bantuan kewangan berskala penuh bagi menyokong penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan produk berasaskan inovasi, termasuk kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat tempatan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdali berkata, program itu bertujuan menyokong semua peringkat inovasi daripada idea awal hingga produk siap untuk pasaran. 

“MOSTI komited menyediakan sokongan kewangan dari peringkat idea awal sehingga produk siap untuk pasaran, termasuk melalui National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi membantu syarikat inovasi membangunkan dan menguji teknologi dalam persekitaran sebenar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang meminta kementerian menyatakan geran atau bantuan kewangan khusus kepada penggiat produk berasaskan inovasi bagi menyokong penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, khususnya dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana di peringkat tempatan.

Menurut Mohammad Yusof, NTIS yang diterajui oleh MRANTI melalui Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), memberi sokongan kepada syarikat inovasi tempatan termasuk PKS dan syarikat pemula (start-up) untuk membangun, menguji dan mengkomersialkan teknologi walaupun menghadapi kekangan peraturan atau pasaran pada peringkat awal.

“Selain itu, MOSTI melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. menawarkan geran CIP Spark sehingga RM150,000 bagi pembangunan prototaip produk teknologi, manakala geran CIP Sprint sehingga RM600,000 pula bagi pengkomersialan produk inovatif syarikat pemula. 

“Cradle Elevate menyediakan pelaburan antara RM500,000 hingga RM2 juta untuk menyokong syarikat pemula maju ke peringkat pembiayaan modal teroka,” jelasnya.

Menurutnya, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) turut menyediakan geran pemula bagi penambahbaikan produk, pembangunan prototaip, ujian pasaran dan persediaan komersial. 

“Dana Inovasi Sosial dan Akar Umbi disasarkan kepada inovator tempatan, usahawan mikro dan PKS yang memberi impak tinggi kepada komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang membangun,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan penyelesaian berasaskan teknologi bukan sahaja berkembang tetapi juga memberi manfaat terus kepada masyarakat. 

“Gabungan sokongan kewangan daripada idea hingga pasaran termasuk fokus kepada komuniti luar bandar dan impak sosial menekankan kesungguhan kerajaan dalam memupuk inovasi dan keusahawanan tempatan,” katanya.

Menurutnya, dengan pelbagai geran dan program ini, kerajaan berharap dapat memperkukuh ekosistem inovasi tempatan dan memberi peluang kepada usahawan kecil membawa produk mereka ke pasaran secara lebih berkesan dan mampan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×