PETALING JAYA: Seramai lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan penguat kuasa dan sebuah rangkaian pusat urut terkemuka.
Suspek terdiri daripada pengarah syarikat serta pengurusan kanan beberapa entiti perniagaan berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan semalam di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.
Penahanan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap rangkaian pusat urut itu yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak 2023.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis, di mana sebahagian besar jualan tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan anggaran kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun.
“Selain itu, siasatan turut mendapati wujud pembayaran rasuah kepada pegawai penguat kuasa serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi syarikat dan sebagai wang perlindungan.
“Beberapa individu telah dikenal pasti dan tindakan susulan sedang diambil,” katanya.
Sumber berkata, sebanyak 121 akaun bank melibatkan akaun persendirian dan akaun syarikat berkaitan telah dibekukan dengan anggaran keseluruhan RM11.5 juta.
“Pembekuan turut melibatkan aset-aset di Lembah Klang dan Johor yang disyaki diperoleh hasil aktiviti pengubahan wang haram, termasuk lima kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta.
“Selain itu, lima unit premis komersial dianggarkan bernilai RM7.3 juta, dua hartanah perindustrian bernilai sekitar RM2.3 juta serta tujuh unit kediaman dengan nilai anggaran RM7.7 juta turut disita,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 12 rakaman percakapan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan operasi berkenaan sedang dijalankan.
Katanya, siasatan memberi tumpuan kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009), selain turut meneliti elemen kesalahan jenayah lain termasuk pengubahan wang haram.
Dalam perkembangan sama, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kesemua suspek selama empat hari sehingga 31 Januari ini. Seorang lagi suspek direman selama tiga hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN









