32 NGO Islam gesa mansuh RUU PSB, bantah iktiraf UEC

32 NGO Islam gesa mansuh RUU PSB, bantah iktiraf UEC

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Melayu menggesa kerajaan memansuhkan secara kekal draf Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang sebelum ini ditarik balik.

Mereka turut menyuarakan bantahan terhadap sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara rasmi.

Tuntutan itu disuarakan dalam satu memorandum kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), hari ini. 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, masyarakat sivil dan rakyat kini bergantung kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk menyuarakan pendirian tegas berhubung isu UEC dan PSB.

“Kita mengharapkan Ahli Parlimen pembangkang, khususnya pimpinan Perikatan Nasional (PN), memainkan peranan menyuarakan bantahan terhadap perkara ini, namun mereka dilihat lebih sibuk dengan urusan dalaman parti,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 40 individu berarak dari Taman Tugu ke Parlimen bagi menyampaikan dua memorandum kepada Ahli Parlimen PN.

Tuntutan itu juga ditujukan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tetapi tiada menteri mahupun wakil ahli Parlimen kerajaan yang keluar untuk bertemu dengan kumpulan tersebut.

Berdasarkan salinan memorandum berkenaan, tuntutan kumpulan itu berkaitan dengan UEC antaranya tiada pengiktirafan dan hentikan tawar-menawar politik mengenai sijil tersebut.

Ia termasuk menghentikan semua perbincangan mengenai pengiktirafan UEC dan utamakan integrasi nasional berbanding ‘agenda berasaskan kaum’.

Mereka juga mahu menteri berkaitan bertemu wakil persatuan untuk mendengar secara langsung sebab penentangan keras pengiktirafan UEC dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×