“Beta menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, terutamanya yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tindakan tegas hendaklah diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.” – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-14.
Institusi raja-raja Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Malaysia. Penerimaan dan pengiktirafan institusi ini bermula sebelum merdeka dan diteruskan sehingga pembentukan Malaysia. Cuma perbezaannya, kini kuasa raja-raja Melayu adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Ada yang menghujahkan institusi raja-raja Melayu tidak ubah seperti simbol semata-mata. Namun, peranan institusi ini secara perlembagaannya melebihi daripada itu.
Dewasa ini kita melihat beberapa insiden bersifat unprecedented yang memperlihatkan peranan institusi raja berperlembagaan ini.
Antara insiden yang boleh membuatkan masyarakat menginsafi kepentingan institusi raja-raja Melayu adalah pemilihan perdana menteri pada Februari 2020 dan penolakan cadangan perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengumumkan darurat sekitar Oktober 2020. Kedua-dua insiden ini menafikan tuduhan sesetengah pihak kononnya institusi raja-raja Melayu tidak ubah untuk tujuan simbolik semata-mata.
Memandangkan kedudukan Seri Paduka dan Majlis Raja-Raja dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan, institusi ini bukanlah sesuatu yang boleh sewenang-wenangnya dicerca, dihina dan diperkotak-katikkan terutama oleh rakyat di negara ini. Malangnya, mutakhir ini walaupun dalam tempoh pandemik, masih terdapat pihak yang tersalah arah menggunakan kebebasan bersuara dalam memberikan komen, hantaran mahupun ciapan berbaur hasutan kepada institusi raja berperlembagaan.
TERSASAR
Keadaan ini diparahkan lagi dengan kecanggihan teknologi maklumat yang disalahgunakan. Media sosial sepatutnya menjadi landasan bersosial yang bermanfaat telah tersasar penggunaannya apabila memuat naik kandungan-kandungan yang boleh diklasifikasikan sebagai menghasut.
Tafsiran ‘menghasut’ boleh dilihat dalam Seksyen 2 Akta Hasutan 1948 (Akta 15) manakala Seksyen 3 memperincikan perkataan ‘kecenderungan menghasut.’ Misalnya, Seksyen 3(1)(d) menyatakan kecenderungan menghasut itu adalah kecenderungan menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia dalam kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat raja mana-mana negeri atau penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana negeri.
Hakikat kebebasan bersuara diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10 tidak dipertikaikan. Namun, sama ada kita sedar ataupun tidak, peruntukan lain di Perkara 10 itu sendiri telah membataskan hak di bawah Perkara 10(1). Misalnya, Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang difikirkan perlu untuk menyekat kebebasan yang diberikan di Perkara 10(1)(a).
Perkara ini bukanlah suatu prinsip undang-undang yang baharu memandangkan Yang Arif Mohamed Azmi dalam kes Lau Dak Kee lwn. Pendakwa Raya berpendapat, Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak warganegara untuk kebebasan bercakap, berkumpul dan berpersatuan. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada undang-undang yang diluluskan di Parlimen. Atas premis inilah undang-undang seperti Akta 15 masih digunakan dalam mengimbangi kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.
POLISI KERAJAAN
Ini membawa kepada persoalan, di manakah garis sempadan antara hak untuk bersuara dan menghasut dalam kerangka undang-undang semasa? Dalam kes Mahkamah Rayuan Mat Shuhaimi Shafiei lwn. Pendakwa Raya, mahkamah menerusi Yang Arif Abdul Malek Ishak menjawab persoalan garis sempadan ini. Secara ringkas mahkamah menyatakan, sekiranya perkataan yang diucapkan itu berniat mengkritik polisi kerajaan atau pentadbiran dengan pandangan untuk mendapatkan perubahan, maka ucapan itu adalah selamat. Namun, sekiranya mahkamah mendapati kesimpulan daripada ucapan yang digunakan secara semula jadi, jelas dan tanpa keraguan mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan rasa tidak berpuas hati terhadap kerajaan, maka ia tergolong dalam Seksyen 3(1)(a) Akta 15.
Malah melalui Seksyen 3(2) Akta 15 pula memberikan keadaan pengecualian kepada kecenderungan menghasut di Seksyen 3(1) Akta 15. Misalnya, subseskyen 2(a) Akta 15 menyatakan seperti berikut: Bagi menunjukkan bahawa mana-mana raja telah dikelirukan atau tersilap dalam apa-apa langkah yang diambil olehnya. Dalam kes Mat Shuhaimi Shafiei ini juga, mahkamah bersetuju dengan hujah pendakwa raya bahawa sesuatu kritikan hanya menjadi hasutan sekiranya ia mempersoalkan ‘kedaulatan, prerogatif, bidang kuasa raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan di wilayah masing-masing’ dalam konteks Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Tuntasnya, hak yang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah hak untuk bersuara harus diamalkan dengan penuh tanggungjawab. Kita tidak memerlukan undang-undang baharu untuk mengekang hasutan atau kata-kata cercaan yang mengganggu gugat institusi raja-raja Melayu, tetapi kita perlukan pemahaman yang mendalam berkenaan hak sebagai rakyat dan institusi raja berperlembagaan yang diamalkan di tanah air sendiri. Janganlah institusi ini dipuja apabila keputusan yang diambil menyebelahi keinginan kita tetapi dihina apabila bercanggah dengan apa yang kita inginkan. Malaysia sebuah negara yang baharu tetapi tidak pada institusi raja Melayu di Tanah Melayu.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.











