Orang suruhan along didakwa baling molokov cocktail

Orang suruhan along didakwa baling molokov cocktail

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua suruhan along mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan khianat dengan api yang mengakibatkan kerosakan harta benda empat mangsa pada tahun lalu.

Tertuduh, T. Adrian Arvin, 26, dan S. Kaarthivi Raj, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, kedua-dua tertuduh didakwa atas satu pertuduhan membakar bahagian hadapan rumah seorang lelaki sehingga merosakkan harta benda di Jalan Kampong Baru Ban Foo, Ulu Tiram pada pukul 1.45 pagi, 19 November 2025.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mohd. Zamir Suhaimee, mereka didakwa atas tiga pertuduhan pilihan melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kebakaran lantai dan pakaian milik tiga pemilik rumah di Taman Universiti, Iskandar Puteri serta Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara 8 November dan 6 Disember 2025.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari dan Siti Fatimah Mamu, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM35,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Mereka juga diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 25 Februari sebagai tarikh sebutan semula pertuduhan pertama dan 11 Mac untuk tiga pertuduhan lain. Pada masa sama, mahkamah memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bagi membela diri dalam kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×