Saman dua ahli akademik terhadap Rita Rudaini disampaikan secara gantian

Saman dua ahli akademik terhadap Rita Rudaini disampaikan secara gantian

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan dua ahli akademik untuk menyampaikan saman terhadap pelakon, Rita Rudaini secara penyampaian gantian.

Saman tersebut berkait dengan kenyataan oleh Rita yang didakwa telah melabelkan Yang Dipertua Muafakat, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Prof Dr. Mohd. Roslan Mohd Nor dan Naib Yang Dipertuanya, Dr. Saidah Haris @ Harith antaranya sebagai bongkak, tidak profesional, ‘prof kangkung’ serta tidak layak menerajui pertubuhan Muafakat.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Adnan Seman mewakili kedua-dua plaintif ketika dihubungi media hari ini.

Menurut peguam itu, saman fitnah terhadap Rita atau nama penuhnya, Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar gagal diserahkan di alamat terakhir yang diketahui.

“Plaintif kemudian membuat serahan dokumen mahkamah melalui aplikasi WhatsApp kepada defendan (Rita), tetapi tiada kehadiran dimasukkan oleh mahkamah.

“Mahkamah seterusnya membenarkan permohonan penyampaian ganti bagi membolehkan saman berkenaan diserahkan melalui kaedah alternatif.

“Mahkamah memberi tempoh selama satu bulan kepada plaintif untuk melaksanakan penyampaian ganti berkenaan. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 26 Februari ini,” katanya.

Menurut writ dan penyataan tuntutan yang difailkan pada 6 Disember 2025, Mohd Roslan dan Saidah mendakwa bahawa Rita yang dinamakan sebagai defendan tunggal telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah di akaun media sosial milknya termasuk di status WhatsApp di antara Jun dan September 2025.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah tersebut antara lain menggambarkan bahawa kedua-dua plaintif sebagai seorang yang tidak sopan, tidak menghargai ibu bapa pelajar MRSM Sungai Besar dan penipu.

Kenyataan yang dibuat oleh pelakon terbabit juga didakwa telah memberi gambaran bahawa sepanjang institusi pengajian itu di bawah kendalian Mohd. Roslan dan Saidah, pelajar di sekolah berkenaan tidak lagi cemerlang dan rosak.

Kedua-dua plaintif menafikan setiap kenyataan yang dibuat dan menyatakan bahawa mereka telah menjalankan pelbagai usaha sepanjang tahun 2025 bagi meningkatkan prestasi pelajar MRSM Sungai Besar selaku sebuah MRSM Ulul Albab yang menawarkan program Tahfiz Al Quran kepada para pelajarnya.

Mohd Roslan dan Saidah mendakwa kenyataan yang dibuat oleh Rita telah menimbulkan kesangsian orang awam terhadap kedua-dua plaintif sekaligus menjatuhkan reputasi mereka.

Tambah plaintif, Rita tidak pernah menghubungi mereka untuk mendapatkan sebarang penjelasan atau pengesahan sebelum membuat kenyataan-kenyataan tersebut.

Oleh itu, kedua-dua plaintif antara lain memohon satu perintah injunksi terhadap defendan, pekerja atau ahli keluarganya daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa juga cara sama ada secara lisan, maya atau bercetak.

Plaintif turut memohon perintah agar Rita, pekerjanya atau ahli keluar memadamkan kenyataan berbaur fitnah tersebut.

Mohd. Roslan dan Saidah turut memohon agar pelakon terbabit membuat permohonan maaf dalam bentuk video dan bertulis dan permohonan maaf itu perlu disiarkan selama tiga bulan di semua akaun media sosial milik defendan.

Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan pengajaran secara berasingan bagi kedua-dua plaintif serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×