Jual ubat gugur kandungan di media sosial langgar undang-undang

Jual ubat gugur kandungan di media sosial langgar undang-undang

AMRAHI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjualan ubat menggugurkan kandungan jenis Misoprostol atau Miso di media sosial tanpa mendapatkan preskripsi daripada doktor bertauliah bukan sahaja berbahaya kepada pengguna malah me­langgar undang-undang negara.

Antara akta yang dikenalpasti menghalang aktiviti penjualan ubat-ubatan secara dalam talian adalah Akta Racun 1952; Akta Ubat (Penapisan & Iklan) 1952 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Dr. Amrahi Buang berkata, aktiviti penjualan ubat-ubatan di media sosial adalah tindakan yang 100 peratus telah menyalahi undang-undang negara.

Katanya, isu penjualan ubat-ubatan secara tidal terkawal di media sosial sudah sering dibangkitkan pihaknya dan diadukan kepada pihak berkuasa melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispa) namun sehingga kini semakin membimbangkan.

“Apa yang membimbangkan adalah semua ubat yang dijual di pasaran tempatan perlu didaftarkan di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), jadi jika ia tidak melalui badan tersebut, kita bimbang ubat dijual adalah palsu.

“Jika ubat-ubatan tersebut adalah palsu, ia sangat memu­daratkan kepada kesihatan pengguna. Ubat-ubatan sebegini perlu mendapat preskripsi daripada doktor bertauliah sebelum dibeli sebagai contoh di farmasi perubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, tindakan menjual dan membeli ubat-ubatan termasuklah pil menggugurkan kandungan di media sosial perlu dihalang sepenuh­nya memandangkan ia memberi kesan buruk kepada pengguna.

Katanya, dalam hal sebegini perlu ada penegasan dan tindakan kepada pemilik akaun media sosial yang menjual ubat terlarang kepada pengguna.

“Isu ini sebenarnya sudah la­ma berlaku tidak hanya membabitkan pil gugurkan kan­dungan dan sudah banyak kali aduan dibuat sejak wujudnya platform e-dagang dan media sosial.

“Tetapi kebelakangan ini ia semakin membengkak sedang­kan kita adalah negara yang mempunyai undang-undang ketat dalam bidang perubatan tetapi penguatkuasaannya masih kurang.

“Isu ini isu kompleks tetapi harus ada pendekatan yang tegas supaya ia tidak terus berlarutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN