KANGAR: Cuaca panas dan kering di negeri ini menyaksikan sebanyak 127 kes kebakaran direkodkan hanya dalam tempoh sebulan.
Kes kebakaran yang direkodkan di seluruh negeri ini dari awal bulan sehingga 25 Januari itu membabitkan 103 kes kebakaran belukar, 11 kes kebakaran lalang dan 13 kes kebakaran terbuka.
Pengarah JBPM negeri, Penguasa Kanan Bomba l, Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zin berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi kes kebakaran yang meningkat pada musim cuaca panas ini.
Katanya, cuaca panas dan kering yang berlarutan lebih sebulan lalu itu boleh meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka sama ada secara sengaja atau tidak terkawal.
“Selain itu, mereka perlu sentiasa berhati-hati dalam aktiviti harian yang boleh mencetuskan kebakaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa, harta benda dan alam sekitar.
Ujarnya, pihak JBPM negeri akan terus komited dalam menjalankan pemantauan, tindakan penguatkuasaan serta operasi pemadaman demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. – UTUSAN










