Aliakbar Gulasan pesan YB jangan ‘ternak’ kontraktor

YB Pas pesan wakil rakyat jangan ‘ternak’ kontraktor

aliakbar bertanya sesuatu kepada penduduk bagi mendapatkan maklumat semasa membuat tinjauan mesra di Kampung Lokub, Sepanggar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertama kali terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberi satu cabaran baharu kepada Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, yang memenangi kawasan Karambunai Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 baru-baru ini.

Sebelum ini, beliau memasuki DUN Sabah sebagai ADUN dilantik.

Kini selepas dihantar ke DUN Sabah sekali lagi oleh majoriti penduduk Karambunai, ia memberi satu cabaran berbeza dan merancang pelbagai program membantu mereka.

Antara yang mahu beliau lakukan adalah menyusun semula perumahan penduduk yang didapati berselerakan dan perlu penstrukturan semula terutama perumahan setinggan.

“Ini bukan bermaksud kita akan robohkan rumah setinggan, tetapi membuat penyusunan kawasan perumahan,” ujarnya.

Pendekatan yang beliau laksanakan adalah berdasarkan kepada komposisi penduduk Karambunai.

 

Ada yang menjadi nelayan atau berniaga atau bekerja di pelbagai sektor kerana kawasan tersebut terletak dalam kawasan pusat pentadbiran Sabah di Kota Kinabalu.

“Bagi masyarakat kampung, kita bercadang melancarkan klinik bergerak untuk kemudahan mereka di pinggir bandar manakala peniaga juga akan dibantu. Saya juga akan membantu komuniti nelayan bagi memperbaiki sosioekonomi mereka, “ ujar beliau sambil memberitahu usaha tersebut dijalankan dengan bantuan pasukannya.

Beliau ingin melihat penduduk yang mempunyai bakat berniaga disantuni supaya mereka terus dapat meneruskan aktiviti ekonomi tersebut.

Ini kerana menurut Aliakbar, peniaga tempatan kebanyakannya berniaga di tepi jalan sedangkan mereka ada bakat berniaga dan telah lama menjadikan perniagaan dan menjaja sebagai aktiviti ekonomi.

BIODATA Datuk DR. Aliakbar Gulasan
Tempat lahir:
Keningau, Sabah.
Sekolah:
 Sekolah rendah dan menengah di Tenom, Sabah.
 Ijazah sarjana di Universiti Malaya .
 Sarjana dan Doktor Falsafah (Geografi Bandar) Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengalaman:
 Berkhidmat sebagai pensyarah selama 24 tahun di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 ADUN Lantikan 2020-2025.
 Menang ADUN N16 Karambunai 2025
Jawatan politik:
 Pesuruhjaya Pas Sabah

Aliakbar juga akan memastikan penambahbaikan infrastruktur demi keselesaan penduduk.

Oleh kerana Karambunai merupakan kawasan yang membangun dan terletak dalam Parlimen Sepanggar, maka banyak kemudahan sedia ada serta terus diperbaiki.

Bahagian pilihan raya Karambunai ini mengandungi daerah mengundi Karambunai, Gudon, Taman Indah Permai, Kibagu, Telipok Laut, Telipok Darat dan Pulau Sepanggar.

Aliakbar berkata, dia akan terus membantu rakyat di Karambunai seperti menambah baik infrastruktur asas seperti kemudahan jalan raya, elektrik dan air yang sangat diperlukan penduduk.

Beliau memegang ijazah pertama dan doktor falsafah dalam bidang Geografi Bandar.

Kelayakan akademik beliau itu dapat membantu membangunkan Karambunai sebuah kawasan lestari dan melakukannya dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kerjaya (JKR).

Bagaimanapun beliau menggunakan pendekatan tertentu supaya jawatan sepertinya tidak terlalu bergantung kepada kontraktor dalam melaksanakan projek pembangunan.

“Saya tidak mahu YB (Yang Berhormat) yang ‘menternak’ kontraktor bagi mengelakkan terikat dengan tuntutan mereka, apatah lagi YB itu sendiri adalah kontraktor,” ujarnya memberitahu golongan seperti beliau tidak boleh terlalu bergantung kepada kontraktor yang mendedahkan kepada salah laku dalam tadbir urus.

Beliau menjelaskan , apabila YB ini ada kontraktor khas, dia hanya menyalurkan projek tertentu kepada kontraktor pilihannya sepanjang masa.

“Bukan semua YB macam itu tetapi apabila mereka ada kontraktor tertentu sahaja, maka dia terdedah kepada rasuah dan salah guna kuasa, “ ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×