Nadanya sedikit angkuh apabila ada individu memberitahu dia tidak membelanjakan walau sesen pun bantuan tunai one-off sebanyak RM100 yang dikreditkan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun lepas.
“Saya tidak akan termakan dengan umpan RM100,” katanya sambil memberitahu dia membiarkan sahaja bantuan itu luput sendiri pada tarikh akhirnya, 31 Disember 2025.
Tidak begitu dengan dua kawannya, yang juga kawan-kawan saya, yang membelanjakan bantuan itu dengan membeli barang-barang keperluan dan kemudian menyumbangkannya kepada golongan yang kurang bernasib baik, termasuk Wak Tukiman dan isterinya Wak Rose, kedua-duanya dari Sungai Besar.
“Kami mempunyai stok barang yang cukup untuk setahun,” kata Wak Tukiman kepada saya.
“Setahun lebih,” Wak Rose mencelah. “Beras, minyak masak, gula, kopi, teh, tepung, sardin, serbuk pencuci, ubat gigi, semuanya cukup untuk kegunaan kami berdua selama setahun lebih.”
Saya ditunjuk timbunan stok barang-barang itu yang diletakkan di suatu sudut. Sebahagian hasil sumbangan dua kawan saya tadi, dan beberapa orang lain yang memanfaatkan SARA RM100 itu untuk membantu orang lain, sebahagian lagi dibeli oleh Wak Tukiman dan isteri.
Seperti semua warganegara yang berusia 18 tahun ke atas, mereka masing-masing turut mendapat bantuan tunai itu RM100 seorang. Untuk rekod pasangan warga emas yang hanya tinggal berdua itu juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah RM900 setahun, selain BWE (Bantuan Warga Emas) berjumlah RM600 sebulan.
Saya juga melihat bagaimana RM100 yang diremehkan oleh sebahagian orang itu memberi makna cukup besar kepada orang lain, di samping memberi peluang kepada mereka yang mampu, sebagaimana dua kawan saya itu, untuk menambah pahala. Dan itulah antara nikmat yang datang bersama Malaysia Madani.
Tiga tahun lalu, apabila gagasan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari 2023, ramai melihatnya sebagai satu lagi slogan politik yang akan hilang ditelan retorik.
Pada peringkat awal, ramai yang tidak benar-benar faham apa itu Malaysia Madani. Perbincangan mengenai kerangkanya bergerak dalam ruang yang besar dan agak abstrak: tatakelola, nilai, reformasi institusi, dan aspirasi negara. Melaluinya, rakyat diberitahu, kerajaan berhasrat membina negara berteraskan kesejahteraan, ihsan, daya cipta, hormat, keyakinan dan kelestarian.
Mereka skeptikal pada tahun pertama, mula memahami pada tahun kedua, dan kini selepas memasuki tahun keempat, mula merasai kesannya. Malaysia Madani menjadi pengalaman baharu kepada penerima manfaat daripada penyusunan semula keutamaan dasar negara, terutama melalui intervensi yang memberi kesan terus kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Dalam apa situasi sekalipun, dasar yang paling cepat dirasai rakyat biasanya berkisar pada perlindungan kos sara hidup, bantuan tunai bersasar, sokongan rantaian bekalan makanan, usaha meningkatkan pendapatan pekerja, serta jaminan akses kepada perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan.
Inilah yang dibawa oleh Malaysia Madani apabila pelbagai inisiatif di bawah ‘Payung Rahmah’ dan pendekatan bersasar dijadikan tulang belakang kepada pengalaman menikmati Madani di peringkat akar umbi. Antara contoh paling ketara adalah STR yang bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi medium dasar sosial untuk menampung jurang pendapatan isi rumah di tengah tekanan inflasi dan peningkatan kos kehidupan.
Pada 2023, kerajaan membelanjakan hampir RM8 bilion untuk STR dan memanfaatkan hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia. Dalam Belanjawan 2024 pula, peruntukan STR ditingkatkan sebanyak RM2 bilion, menjadikannya RM10 bilion berbanding RM8 bilion pada tahun sebelumnya.
Data ini menunjukkan bantuan tunai bersasar bukan kecil dari sudut kos fiskal mahupun manfaat sosialnya, malah berfungsi sebagai ‘bantuan kecemasan’ yang menampung perbelanjaan asas dalam saat-saat sukar.
Bantuan tunai sering dikritik sebagai ‘penampal sementara’ kepada masalah sebenar. Kritikan itu ada asas. Namun dalam realiti rakyat biasa, fungsi bantuan tunai bukan untuk menjadikan seseorang itu kaya, sebaliknya untuk mengurangkan kejutan kewangan bulanan apabila harga makanan, sewa, bil utiliti dan kos pendidikan meningkat serentak.
Satu lagi komponen penting ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang berfungsi sebagai bantuan barangan asas melalui penggunaan MyKad di kedai terpilih. Berbeza dengan STR yang bersifat tunai dan fleksibel, SARA lebih terarah kepada pembelian barang keperluan asas yang ditetapkan. Kerajaan melaporkan SARA 2024 diperluaskan secara besar-besaran dengan sasaran lebih 700,000 penerima dan peruntukan RM700 juta, berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta pada 2023.
Peningkatan ini memperlihatkan kecenderungan kerajaan memperkukuh bantuan ‘berasaskan makanan’ untuk isi rumah yang paling terkesan.
Selain bantuan berbentuk langsung, satu lagi dimensi Madani yang cepat dilihat rakyat ialah intervensi kos sara hidup melalui Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM). Program yang dilaksanakan sebagai jualan murah sepanjang tahun dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pasar raya, pemborong, peruncit dan koperasi ini berperanan sebagai mekanisme pasaran terkawal untuk menurunkan harga barangan terpilih di kawasan tertentu termasuk komuniti perumahan, luar bandar dan lokasi tumpuan B40.
Program seperti ini menyediakan ruang ‘bernafas’ kepada isi rumah yang terhimpit, terutama dalam tempoh harga bahan mentah dan makanan global tidak menentu. Jika STR dan SARA membantu dari sudut permintaan dengan menambah kemampuan membeli, PJRM pula membantu dari sudut penawaran dengan menurunkan harga runcit melalui kerjasama rantaian bekalan.
Dalam sektor pekerjaan, usaha memperkukuh pendapatan rakyat dapat dilihat melalui kenaikan gaji minimum. Isu gaji minimum bukan sekadar persoalan angka, tetapi simbol kepada maruah pekerja dan keseimbangan antara produktiviti serta kelangsungan hidup.
Melalui Perintah Gaji Minimum 2024, kadar gaji minimum bulanan diumumkan meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula 1 Februari 2025, dengan pelaksanaan berfasa.
Dalam konteks semasa, tambahan RM200 sebulan mungkin kelihatan kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, tetapi bagi pekerja bergaji rendah, ia boleh menampung keperluan asas seperti petrol, tambang, makanan harian atau sedikit simpanan kecemasan.
Pada masa sama, kenaikan ini memberi tekanan positif kepada pasaran buruh untuk menilai semula struktur gaji, produktiviti dan nilai kerja. Walaupun terdapat cabaran kepada majikan kecil, dasar ini menunjukkan usaha mengimbangkan kepentingan ekonomi dengan kesejahteraan sosial.
Dalam bidang pendidikan pula, pengalaman menikmati Madani hadir melalui bantuan yang mengurangkan kos pendidikan awal, akses kepada peluang latihan, serta kesinambungan dasar yang memastikan pendidikan awam kekal sebagai laluan mobiliti sosial. Pendidikan di Malaysia masih memainkan peranan besar dalam membina peluang naik taraf hidup, khususnya bagi anak-anak daripada keluarga B40 dan M40.
Kesimpulannya, menikmati Madani bukan bermaksud rakyat tiba-tiba keluar daripada realiti tekanan hidup, atau negara berubah sekelip mata menjadi sempurna. Namun pengalaman menikmati itu wujud apabila dasar yang dilaksanakan benar-benar menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.
Jika konsep Madani ingin terus diyakini, cabarannya ialah memastikan intervensi ini tidak berhenti sebagai bantuan sementara, tetapi menjadi sebahagian strategi lebih besar untuk membina ekonomi yang tahan inflasi, peluang pekerjaan berkualiti, jaringan perlindungan sosial yang cekap, serta sistem penyampaian perkhidmatan yang telus dan berintegriti.
Pada tahap inilah Madani bukan sekadar slogan yang dihafal, tetapi pengalaman sosial yang dapat dirasai: hidup sedikit lebih stabil, beban sedikit lebih ringan, dan keyakinan bahawa negara masih mempunyai keupayaan untuk membela rakyat.
Datuk Dr. Budiman Mohd Zohdi ialah Penasihat Strategik Jkom










