Rakyat disuruh bersatu, pemimpin politik bercempera! - Utusan Malaysia

Rakyat disuruh bersatu, pemimpin politik bercempera!

Kebajikan rakyat lebih utama daripada survival politik dan parti politik perlu memperjuangkan kebajikan rakyat bukan sekadar slogan yang sentiasa dilaungkan. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA ini bukanlah sebesar mana. Daripada segi saiz dan sumber, kita tidak memiliki kemewahan seperti kuasa ekonomi dunia. Namun peliknya, dalam kemelut politik, ia kelihatan seperti tidak habis-habis. Seolah-olah kestabilan itu susah dicapai dalam landskap politik nasional.

Rakyat terutamanya dalam tempoh sebulan dua ini berterusan disogokkan dengan banyak cerita dan kisah pemimpin parti-parti politik yang ‘bercempera’ dalam media arus perdana dan media sosial.

Ada yang keluar parti, ada yang kena pecat, ada yang mengata parti sekutu sendiri dan ada yang cabar mencabar – keluarlah daripada pakatan kalau betul sudah benci atau lebih tepat lagi sebenarnya kalau berani.

Pergolakan politik ini bukan lebih antara parti kerajaan dan pembangkang seperti dulu sebaliknya, sesama parti yang berkait masalah dalaman serta antara parti yang sama-sama kononnya duduk bersepakat.

Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperlihatkan bagaimana parti yang lahir atas mahu memperjuang kepentingan Melayu dan Bumiputera serta melakukan reformasi institusi ini akhirnya berdepan krisis kepimpinan dan perebutan pengaruh.

Perikatan Nasional (PN), yang pernah menjanjikan kestabilan dan politik alternatif dan menunjukkan prestasi memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-15, kini bergelut dengan perpecahan dalaman serta kegagalan membina keyakinan merentas kaum.

Dalam masa sama, kerjasama UMNO dan DAP yang mana dua parti yang dahulu berdiri di kutub bertentangan yang menjadi simbol politik baharu yang janggal yang diwujudkan bukan kerana keserasian ideologi, tetapi kerana keperluan kelangsungan kuasa kini, dilihat sindir menyindir dan kata mengata.

Tanpa pemimpin-pemimpin parti politik ini sedari, mereka sebenarnya sudah menunjukkan satu contoh yang cukup terang lagi nyata bagi mengiyakan ungkapan ‘cakap tak serupa bikin’ atau peribahasa ‘ketam mengajar anak berjalan dengan baik’.

Apa tidaknya, dalam ucapan ketika bersama rakyat atau mana-mana majlis keramaian, bukan main lagi mereka ini menasihat, menyeru dan menyarankan rakyat bersatu. Menekankan peri pentingnya menjaga perpaduan atau hubungan. Tapi hakikatnya yang bercempera itu, merekalah juga. Iaitu orang yang suka memberi nasihat, berjanji yang muluk-muluk dan beri harapan kepada rakyat.

Pada masa sama, rakyat macam itu jugalah. Tidak mendapat apa-apa faedah pun daripada semua persengketaan dan krisis dalaman parti-parti politik ini.

Sedangkan, pemimpin politik inilah selalu menggunakan slogan mereka berjuang demi rakyat, mengutamakan rakyat dan membela nasib rakyat. Tetapi apa yang jelas dipamerkan adalah demi jawatan dan kepentingan diri.

Melihat keterbukaan pertelingkahan dan kemelut ini, menimbulkan banyak persoalan antaranya, sudahkah ekonomi dipulihkan sepenuhnya? Kos sara hidup berjaya direndahkan? Kemiskinan tegar dan kemiskinan bandar sudah sifarkah? Peluang pekerjaan sudah banyakkah?

Kerajaan sering menyatakan ekonomi Malaysia beransur pulih. Angka pertumbuhan diumumkan, pelaburan asing diuar-uarkan. Namun ekonomi bukan sekadar angka di atas kertas. Ekonomi yang benar-benar pulih adalah ekonomi yang dirasai rakyat apabila kuasa beli meningkat dan beban hidup berkurang. Selagi kos sara hidup kekal tinggi, maka pemulihan ekonomi itu masih belum menyenangkan rakyat.

Sudah tentunya, kebobrokan sebegini menghilangkan rasa percaya, yakin dan hormat rakyat kepada pemimpin yang sepatutnya memberi contoh yang baik.

Siapa mahu percaya pada orang yang suka bergaduh dan mencari pasal? Siapa suka orang yang kuat temberang? Dan siapa yang mahu dengar pemimpin bercakap bukan-bukan contohnya, tidak semena-mena membandingkan bau babi dengan belacan dan budu?

Mahu tidak mahu, pemimpin yang mewakili rakyat ini yang sepatutnya perlu bersatu tidak kiralah di bawah apa jua saiz payung itu.
Parti-parti Melayu yang sering bercakap pasal perpaduan dan penyatuan sudah sepatutnya membuktikan hasrat dan kata-kata itu adalah betul-betul ikhlas bukan sekadar slogan.

Dalam suasana politik sebegini, muncul pula gagasan Rumah Bangsa dan idea Kolaborasi Agung. Kedua-duanya lahir daripada kesedaran bahawa politik perpecahan telah terlalu lama membelenggu negara.

Rumah Bangsa diimpikan sebagai asas perpaduan nasional yang melangkaui kaum dan parti, manakala Kolaborasi Agung mencadangkan kerjasama rentas parti demi kestabilan dan reformasi jangka panjang.

Maka persoalannya bukan lagi siapa menang atau kalah dalam percaturan politik, tetapi sama ada Malaysia sanggup berubah.

Rakyat tidak boleh terus diminta bersatu sedangkan ahli politik terus bercempera. Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung hanya akan bermakna jika dimulakan dengan perubahan sikap di peringkat pemimpin.

Perjuangan sekadar slogan hebat dan retorik yang diulang-ulang sudah tidak lagi relevan dalam era kini yang segalanya memerlukan tindakan.

Rakyat pun sudah dapat membaca, mana satu ikhlas dan mana satu auta.
Perlu juga diambil iktibar, negara kecil yang gagal membina konsensus politik akhirnya terperangkap dalam kitaran krisis, seperti yang berlaku di Lubnan, Belgium dan negara jiran Thailand.

Lubnan menjadi contoh paling jelas sebuah negara kecil yang lumpuh akibat elit politik yang terperangkap dalam politik identiti dan perebutan kuasa sehingga ekonomi runtuh dan rakyat menanggung akibatnya.

Belgium negara yang 10 kali ganda kecil dari Malaysia pula, walaupun sebuah negara maju dan demokrasi matang, pernah hampir dua tahun tanpa kerajaan berfungsi kerana kebuntuan politik.

Thailand pula, turut membuktikan bagaimana ketidakmatangan politik membawa kepada ketidakstabilan berpanjangan dan campur tangan berulang.

Malaysia, sebagai negara kecil, tidak mempunyai kemewahan untuk terus bermain politik tanpa arah. Setiap ketidakstabilan membawa kos kepada ekonomi, keyakinan pelabur dan kesejahteraan rakyat.

Siapa yang lebih memerlukan penyatuan dan kesatuan sekarang? Rakyat atau pemimpin?

Segala ‘ kocakan atau ribut dalam cawan’ atau mangkuk sekali pun, ia patut ditangani segera dengan bijak dan berlapang dada. Kebajikan rakyat lebih utama daripada survival politik.

Jika tidak, Malaysia akan menjadi contoh sebuah negara kecil dengan politik yang besar konflik dan egonya, tetapi kecil bergunanya kepada rakyat.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×