KUALA LUMPUR: Tiga buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran yang berlaku berhampiran tanah perkuburan Nirvana di Kampung Bellamy di sini, hari ini.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Mohammad Faiz Harzmi berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.38 pagi tadi.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah bersama BBP Pudu digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat kejadian.
“Kebakaran melibatkan tiga rumah setinggan dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 300 kali 300 kaki persegi bersama dua kontena sejuk beku dan dua kenderaan.
“Keadaan berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 8.20 pagi dengan anggaran 100 peratus kemusnahan,” katanya.
Mohammad Faiz berkata, pemadaman dilaksanakan menggunakan satu aliran hos dengan tiga pancutan daripada pam jentera bagi memadam kebakaran serta mengawal api merebak ke kawasan sekitar,” katanya.
“Kerja-kerja overhaul masih dilaksanakan manakala punca kejadian masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran,” katanya. – UTUSAN










