KLANG: Lagi kes bunuh dilaporkan di negeri ini apabila seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sini, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa merupakan seorang warga tempatan berusia 31 tahun.
Menurutnya, maklumat diterima daripada orang awam oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kira-kira pukul 7.26 pagi.
“Semakan rekod mendapati mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau, melibatkan dua kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta satu kes di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (SHOD),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Muhamad Ramli di talian 012-939 2198 atau Bilik Gerakan IPD Klang Utara di talian 03-3291 2222 bagi menyalurkan maklumat,” ujarnya.
Terdahulu, Selangor merekodkan dua ks tembak di Banting, Kuala Langat dan Bukit Sentosa, di sini dalam tempoh tujuh hari selepas sambutan tahun baharu 2026, 1 Januari lalu. – UTUSAN










