14 individu termasuk wanita mengaku tidak bersalah merusuh

14 individu termasuk wanita mengaku tidak bersalah merusuh

SEBAHAGIAN tertuduh berdepan pertuduhan merusuh di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 14 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan merusuh, kira-kira dua minggu lalu.

Mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita iaitu S. Dinesh, 17; R. Kumaravelu, 19; S. Ambaselvam, 19; S. Muneswar, 20; M. Sivakumar, 21; S. Tevam, 24, dan K. Sanmugam, 48, serta tertuduh wanita, S. Thevani, 25, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Azlan Basri.

Mereka didakwa terlibat dalam rusuhan serta memiliki kayu dan batu dalam kejadian di padang Taman Sutera, di sini kira-kira pukul 4 petang, 9 Januari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, enam lagi lelaki iaitu K. Gotham, 21; V. Rishitaram, 27; R. Harihavan, 27; V. Mathilagan, 27; A. Dineshkumar, 28, dan S. Vaveendran, 33, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Radzi.

Mereka didakwa secara bersama menyertai rusuhan dan membawa topi keledar, parang serta kereta yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang dua individu di Jalan Utama Taman Songket kira-kira pukul 5 pagi, 10 Januari lalu.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 seorang dan kes akan disebut semula pada 22 Januari depan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, berlaku perselisihan faham antara dua keluarga pada majlis pengebumian di Taman Sutera pada 9 Januari lalu yang kemudian mencetuskan pergaduhan di padang taman itu dan berlarutan sehingga ke Taman Songket, keesokan harinya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×