TAPAH: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Bidor di sini, melarikan diri selepas merusuh dan merobohkan pagar serta kawat duri.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian rusuhan itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan kepada anggota pasukan keselamatan.
Katanya, kumpulan tersebut dipercayai melarikan diri dengan menuju kawasan hutan berhampiran termasuk ladang kelapa sawit, hutan kecil dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
“Usaha pencarian kesemua tahanan itu sedang giat dijalankan. Kesemua mereka melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa apa-apa barang, makanan mahupun wang.
“Kita percaya dalam keadaan seperti itu dan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa, kesemua tahanan terbabit akan dapat dijumpai semula,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas meninjau Depot Imigresen Sementara Bidor, di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi pencarian yang turut disertai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu kini memberi tumpuan di kawasan Bidor.
Katanya, pemantauan dari udara turut dilakukan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.
“Buat masa ini, kita akan cari di sekitar radius depot tahanan ini dahulu. Setakat ini, belum ada lagi tangkapan semula membabitkan tahanan yang lolos,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak tujuh sekatan jalan raya (SJR) didirikan sejak semalam di daerah Tapah, Muallim, Kampar dan Hilir Perak.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak bersubahat dengan melindungi kumpulan warga asing terbabit.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol atau memberikan simpati kepada tahanan ini kerana mereka boleh didakwa kerana memberi kerjasama dan bersuhabat dengan tahanan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 131 PATI terdiri daripada 115 lelaki etnik Rohingya dan 16 lelaki warga Myanmar dilaporkan merusuh sebelum melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, semalam.
Daripada jumlah itu, seorang lelaki dilaporkan terbunuh selepas dilanggar kereta ketika cuba melarikan diri. – UTUSAN










