Guan Eng cadang UPSR diadakan semula

Guan Eng cadang UPSR diadakan semula

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Guan Eng mencadangkan agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diadakan semula bagi mengukur tahap kemajuan murid selepas menjalani enam tahun pendidikan sekolah rendah.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, peperiksaan merupakan antara ciri utama sistem pendidikan dan berfungsi sebagai barometer berterusan untuk menilai prestasi serta kecemerlangan akademik pelajar.

“Reformasi pendidikan yang dirangka perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), malah turut memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Kita tidak boleh terus ketinggalan, termasuk berbanding Vietnam, sama ada daripada segi skor PISA mahupun pengeluaran atau kepadatan jurutera,” katanya.

Menurut Guan Eng, tiada kompromi boleh dibuat terhadap piawaian pendidikan yang dikekang oleh retorik emosi tanpa disokong fakta, data dan pengetahuan.

“Rakyat Malaysia menaruh harapan agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, serta Timbalan Menteri, Wong Kah Woh, dapat melaksanakan reformasi pendidikan yang sukar tetapi perlu.

“Langkah itu juga harus seiring dengan justifikasi peruntukan besar berjumlah RM66.2 bilion, selain mendorong Malaysia ke tahap kejayaan yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×