Malaysia kekal sebagai pasaran paling stabil di Asia

Malaysia kekal sebagai pasaran paling stabil di Asia

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kekal sebagai antara pasaran paling stabil di Asia, meskipun berdepan kesan luaran dengan pasaran ekuiti terus menunjukkan daya tahan yang tinggi serta prospek sederhana positif.

Ketua Strategi Ekuiti Asia Pasifik HSBC, Herald van der Linde berkata, ia disokong oleh sektor perbankan, pelaburan berterusan dan sifat defensif pasaran tempatan. 

“Dari sudut ekuiti, ia bermaksud terdapat sedikit kesan positif, tetapi tidak banyak kesan langsung. Jadi, ia adalah sederhana positif untuk ekuiti Malaysia.

“Selain itu, pertumbuhan pendapatan korporat Malaysia tidak begitu menonjol berbanding pasaran lain, namun persekitaran kadar faedah yang kekal tinggi di peringkat global memberi sokongan kepada sektor perbankan.

“Sebaliknya, jika dilihat dari segi pertumbuhan pendapatan dan faktor-faktor seumpamanya, bagi Malaysia, ia tidak begitu menonjol seperti yang dilihat di negara lain. Kadar faedah kekal agak tinggi di peringkat global dan itu merupakan salah satu pandangan kami,” katanya dalam sesi webinar Ramalan Asia 2026 HSBC di sini, semalam.

Beliau berkata, kadar faedah yang tinggi itu memberi manfaat kepada bank, sekali gus menyokong pasaran ekuiti Malaysia pada tahap sederhana.

Sementara itu, Ketua Penyelidik FX Asia HSBC, Joey Chew berkata, ringgit dijangka terus mencatat prestasi yang baik tahun ini sekitar RM4.10  pada hujung tahun ini disokong oleh dasar kerajaan yang konsisten serta aliran pelaburan yang menggalakkan.

Menurutnya, asas sokongan terhadap mata wang tempatan kekal kukuh, walaupun kadar pengukuhannya mungkin lebih sederhana berbanding tahun lalu.

“Ringgit sebenarnya adalah mata wang dengan prestasi terbaik tahun lalu dengan terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada prestasi itu.

“Antara faktor utama ialah dasar kerajaan yang kekal sangat menyokong ringgit melalui keperluan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membawa pulang hasil dolar mereka,” katanya.

Beliau berkata, langkah GLC turut memberi kesan besar kepada pasaran domestik menyaksikan jumlah deposit dalam negara meningkat dengan ketara.

“Kita dapat melihat bahawa ini benar-benar memberi kesan besar. Sebagai contoh, deposit tukaran asing di dalam negara telah meningkat dengan ketara.

“Data pusing ganti pertukaran asing daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan peningkatan jumlah transaksi, menandakan sebahagian besar hasil dolar yang dibawa pulang turut ditukar kepada ringgit.

“Banyak daripada hasil ini bukan sahaja dibawa pulang, tetapi juga ditukar kepada ringgit. Jadi itu dari sudut dasar kerajaan.

“Sebarang penstabilan atau sedikit peningkatan dalam harga komoditi juga akan membantu GLC terus membawa pulang hasil mereka,” ujarnya.

Mengulas dari sudut sektor swasta, Chew berkata, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) turut menyokong ringgit, khususnya melalui ledakan pelaburan dalam pusat data dan sektor berkaitan.

Katanya, antara potensi halangan kepada prestasi ringgit pada tahun ini adalah pandangan umum terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) yang masih dolar lemah, tetapi bukan lagi penurunan dramatik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×