Asas kewangan perlu kukuh untuk bertahan - Utusan Malaysia

Asas kewangan perlu kukuh untuk bertahan

SEKADAR memiliki wang yang mencukupi hari ini belum mampu menghadapi cabaran masa hadapan dengan tenang tanpa mengorbankan kesejahteraan hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang sentiasa berubah dan tidak menentu, kelestarian kewangan bukan lagi sekadar pilihan, malah menjadi keperluan asas bagi setiap individu, organisasi, mahupun negara. 

Tanpa asas kewangan yang kukuh, menyebabkan kemampuan untuk bertahan, berkembang dan memberi impak jangka panjang menjadi terhad.

Kelestarian kewangan merujuk kepada keupayaan untuk mengurus, merancang dan mengekalkan kestabilan kewangan secara berterusan. Ia bukan sekadar mempunyai wang yang mencukupi untuk hari ini tetapi juga memastikan kemampuan menghadapi cabaran masa hadapan tanpa menjejaskan kesejahteraan hidup atau kelangsungan operasi sesuatu organisasi. 

Contohnya, individu yang bijak mengurus bajet bulanan, mempunyai simpanan kecemasan selama tiga hingga enam bulan dan melabur secara strategik akan lebih bersedia menghadapi risiko kewangan. 

Bagi organisasi pula, kelestarian dicapai apabila mampu menjana pendapatan sendiri secara mapan melalui produk, perkhidmatan dan pelaburan, tanpa terlalu bergantung kepada sumber luar.

Kunci utama kelestarian kewangan ialah kesediaan dalam pelbagai aspek. 

  • Kesediaan ilmu : Ramai yang menghadapi masalah kewangan bukan kerana kekurangan pendapatan tetapi kekurangan pengetahuan dalam mengurus wang. Kesedaran tentang bajet, simpanan, pelaburan dan pengurusan risiko amat penting.
  • Kesediaan mental dan emosi : Sikap boros, tidak sabar atau ingin segera nampak mewah boleh menjerat kewangan. Disiplin dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan adalah asas untuk memastikan kestabilan jangka panjang. 
  • Kesediaan merancang : Sama ada untuk jangka pendek atau panjang, tanpa pelan kewangan jelas, kelestarian sukar dicapai. Ini termasuk pelan persaraan, tabung kecemasan, pengurusan hutang dan pendidikan anak-anak.
  • Kesediaan menghadapi risiko : Insurans, tabung kecemasan dan kepelbagaian sumber pendapatan adalah langkah bijak untuk melindungi kewangan daripada kejadian yang tidak dijangka.

Dari perspektif individu, kelestarian kewangan menuntut keseimbangan antara keperluan dan kehendak, perancangan masa hadapan dan pengelakan daripada terjerat dalam hutang yang tinggi. Tanpa ini, risiko hidup melebihi kemampuan, kebergantungan kepada pinjaman jangka pendek atau kesempitan kewangan pada usia tua menjadi lebih tinggi.

Dalam konteks organisasi, kelestarian kewangan memerlukan kawalan perbelanjaan, penjanaan pendapatan berterusan dan simpanan strategik bagi memastikan operasi tetap berjalan walaupun dalam krisis. Ia juga membuka ruang untuk pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur, sumber manusia dan inovasi, sambil meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan seperti kerajaan, pelabur mahupun pelanggan.

Kelestarian kewangan tidak hadir secara kebetulan. Ia menuntut kesediaan menyeluruh meliputi  ilmu, perancangan, disiplin dan ketahanan emosi. Tanpa kesediaan ini, walaupun peluang ada di depan mata, kegagalan hampir pasti berlaku. 

Hanya mereka yang bersedia, yang membina asas kewangan dengan bijak, mampu bertahan, berkembang dan mencapai kesejahteraan sebenar.

Mulakan dari sekarang, walau dengan langkah kecil. Kelestarian kewangan adalah pelindung masa hadapan yang stabil, kunci keamanan dan kemakmuran bagi diri, keluarga dan organisasi.-UTUSAN

 

FARHAWAHIDAH AHMAD PUAD

Pegawai Belia dan Sukan,

Pejabat Kelestarian Kewangan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×