SUNGAI di kawasan bandar sering dianggap sebagai ruang semula jadi yang telah ‘rosak’ dan tidak lagi berfungsi sebagai ekosistem sebenar.
Ramai beranggapan kehadiran spesies asing seperti ikan bandaraya bukan masalah besar, malah dilihat sebagai penyesuaian semula jadi terhadap persekitaran bandar yang tercemar. Namun, pandangan ini perlu dikritik kerana sungai bandar tetap menyokong kesejahteraan manusia dan biodiversiti tempatan.
Kehadiran ikan bandaraya (Pterygoplichthys spp.) jelas mencerminkan bagaimana kecuaian manusia mempercepatkan keruntuhan ekosistem ini.
Ada yang berpendapat ikan bandaraya membantu ‘membersihkan’ sungai kerana memakan alga dan sisa organik. Sebenarnya, fungsi pembersihan ini hanya terbukti dalam persekitaran terkawal seperti akuarium.
Sebaliknya, dalam sungai terbuka yang kompleks, interaksi antara organisma, aliran air dan sedimen menjadikan peranan tersebut tidak signifikan. Malah, aktiviti pemakanan ikan bandaraya boleh mengganggu sedimen dasar sungai, meningkatkan kekeruhan air dan menjejaskan organisma akuatik lain.
Pemerhatian saintifik menunjukkan ikan bandaraya kini mendominasi banyak sungai bandar, terutama di kawasan metropolitan. Dominasi ini berlaku kerana keupayaan fisiologi ikan ini bertahan dalam oksigen terlarut rendah dan pencemaran tinggi, sedangkan ikan tempatan yang sensitif semakin terpinggir.
Kepupusan ikan asli bukanlah harga pembangunan yang wajar dibayar, kerana kepelbagaian biodiversiti merupakan asas kestabilan ekosistem jangka panjang.
Selain bersaing dengan ikan tempatan, ikan bandaraya mengubah struktur fizikal sungai. Aktiviti menggali lubang di tebing sungai untuk pembiakan menyumbang kepada hakisan dan ketidakstabilan tebing.
Kesan kumulatif antara faktor biologi dan fizikal mempercepat degradasi sungai, meningkatkan risiko banjir kilat dan merosakkan infrastruktur bandar.
Kekurangan pemangsa semula jadi membolehkan populasi ikan bandaraya berkembang tanpa kawalan.
Tingkah laku mereka yang melekat pada badan ikan lain untuk memakan lendir menambah tekanan fisiologi kepada ikan tempatan, menyebabkan kecederaan, jangkitan dan kematian. Jika dibiarkan, sungai bandar akan menjadi sistem ekologi miskin spesies dan berfungsi rendah.
Dari sudut sosial, walaupun sungai bandar bukan sumber utama perikanan, ia tetap penting sebagai ruang rekreasi, pemancingan dan kesejahteraan komuniti.
Dominasi ikan bandaraya mengurangkan hasil tangkapan dan nilai sosial sungai, menjejaskan ekonomi serta psikologi masyarakat setempat.
Kos pemulihan ekosistem selepas kerosakan jauh lebih tinggi daripada kos pencegahan melalui pendidikan awam dan penguatkuasaan undang-undang, menunjukkan pelaburan awal lebih berkesan dan menjimatkan.
Beberapa cadangan pragmatik seperti menggunakan ikan bandaraya sebagai baja atau makanan ternakan perlu dikaji dengan teliti. Tanpa kawalan saintifik, pendekatan ini boleh mewujudkan kebergantungan ekonomi terhadap spesies invasif, sekali gus melemahkan usaha pemulihan biodiversiti asal.
Oleh itu, pendidikan awam harus menjadi teras penyelesaian, disokong penyelidikan saintifik berterusan. Isu ikan bandaraya wajar dijadikan kajian kes untuk menunjukkan bagaimana tindakan individu, seperti melepaskan haiwan peliharaan, memberi impak besar terhadap ekosistem. Dengan pendidikan berasaskan sains, kempen komuniti dan maklumat tepat, masyarakat dapat membentuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Kesimpulannya, pencerobohan ikan bandaraya bukan fenomena semula jadi tetapi akibat langsung kecuaian manusia. Prinsip ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ sesuai dijadikan panduan dalam pengurusan hidupan liar bandar.
Tanpa perubahan sikap dan pendekatan bersepadu berasaskan penyelidikan, sungai bandar akan terus kehilangan fungsinya sebagai ekosistem dan manusia sendiri yang menanggung akibatnya.-UTUSAN
NUR ZULAIKHA ABDUL WAHAB & PROFESOR MADYA DR. HASMAHZAITI OMAR
Universiti Malaya










