PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.
Menurut kenyataan, tindakan itu bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah berpotensi menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam ATM.
“Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).
“Sehubungan itu, sebarang hebahan pramatang berkaitan perkara tersebut dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan terhadap institusi Diraja serta hierarki kepimpinan ATM,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, MINDEF turut memberi amaran sebarang penyebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman terhadap keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.
“Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat sulit kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972 serta Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan semula kandungan berunsur spekulasi tersebut, sebaliknya merujuk pengumuman rasmi
melalui saluran kementerian dan ATM,” katanya. – UTUSAN










