SALZBURG: Lima peluncur ski luar trek maut dalam dua kejadian runtuhan salji di pergunungan Alps, Austria selepas kawasan itu dilanda salji lebat.
Runtuhan salji yang melanda sekumpulan tujuh peluncur di kawasan Pongau berhampiran Salzburg pada Sabtu, mengorbankan empat orang dan mencederakan seorang lagi dalam keadaan serius, menurut pegawai penyelamat gunung tempatan.
Satu lagi kejadian serupa turut meragut nyawa seorang peluncur pada awal hari yang sama di kawasan sama.
Keadaan cuaca yang buruk dilaporkan menyumbang kepada beberapa kematian dalam kalangan orang ramai di Alps sepanjang minggu lalu.
Dalam insiden terkini, perkhidmatan penyelamat gunung berkata mereka menerima panggilan kecemasan sekitar 2 petang waktu tempatan.
Empat mangsa ditemukan maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius.
Sekitar sejam setengah sebelumnya, seorang wanita peluncur terbabas dan tertimbus oleh runtuhan salji di kawasan pergunungan terbuka berhampiran lokasi yang sama.
“Ucapan takziah kami kepada keluarga mangsa. Tragedi menyayat hati ini menunjukkan betapa seriusnya situasi runtuhan salji pada masa ini,” kata Gerhard Kremser, ketua daerah perkhidmatan penyelamat gunung Pongau.
Beberapa kejadian runtuhan salji lagi dilaporkan di rantau Pongau sekitar tengah hari, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pada Selasa lalu, seorang remaja lelaki Czech berusia 13 tahun maut apabila ditimbus runtuhan salji semasa meluncur di resort Alps Austria, Bad Gastein.
Ahad lalu pula, seorang peluncur berusia 58 tahun meninggal dunia dalam satu kejadian runtuhan salji di resort Tyrol, Weerberg di barat Austria.
Di negara jiran Switzerland, seorang lelaki Jerman maut dalam kejadian sama dan empat lagi cedera ketika mereka melakukan aktiviti ski rentas desa pada Jumaat.
Pada hujung minggu lalu di Perancis, enam peluncur maut selepas ditimbus runtuhan salji di beberapa resort di Alps. -AGENSI










