MINNEAPOLIS: Ratusan penunjuk perasaan anti-ICE di Minneapolis mengusir sekumpulan kecil aktivis kanan ekstrem yang berhasrat berarak di sebuah kawasan kejiranan yang dihuni ramai pendatang asing, meningkatkan ketegangan di bandar itu selepas pembunuhan Renee Good oleh seorang ejen imigresen persekutuan 10 hari lalu.
Lapor Reuters, penunjuk perasaan berkumpul di pusat bandar berhampiran Dewan Bandaraya dengan melaungkan slogan dan mengibarkan papan tanda agar ejen ICE serta Pengawal Sempadan meninggalkan Minneapolis.
Sekitar pukul 1 petang (waktu tempatan), puluhan daripada mereka bergerak ke hadapan, memaksa kumpulan kira-kira 10 aktivis kanan ke bahagian luar pusat kerajaan tempatan dalam beberapa minit sahaja.
Beberapa peserta membaling belon air yang membasahi golongan kanan tersebut ketika suhu mencecah paras beku dengan polis kekal berada pada jarak selamat semasa kedua-dua protes itu berlangsung.
Kira-kira sejam selepas perhimpunan bermula, kumpulan aktivis kanan itu berjalan beberapa blok ke sebuah hotel, dikejar ratusan penunjuk perasaan anti-ICE yang menghamburkan kata-kata kesat dan menyuruh mereka meninggalkan bandar tersebut. Beberapa pergelutan kecil berlaku, namun tiada keganasan serius dilaporkan.
Jake Lang, seorang aktivis kanan dalam talian dan antara lebih 1,500 orang yang diberi pengampunan oleh Presiden, Donald Trump selepas sabitan jenayah berkaitan serangan 6 Januari terhadap Capitol AS, menganjurkan apa yang digelarnya perhimpunan ‘anti-penipuan’ namun suaranya tidak kedengaran langsung oleh orang ramai.
Protes balas itu dianjurkan oleh People’s Action Coalition Against Trump.
Trump berulang kali mengaitkan skandal kecurian dana persekutuan yang diperuntukkan untuk program kebajikan sosial di Minnesota sebagai alasan menghantar ribuan ejen imigresen ke negeri itu.
Beliau dan pegawai pentadbiran berulang kali menumpukan perhatian kepada komuniti pendatang asing Somalia di negeri tersebut.
“Kami di sini untuk menyokong jiran-jiran Somalia kami. mereka. Saya di sini untuk menggunakan hak saya di bawah Pindaan Pertama kerana jiran-jiran saya terlalu takut untuk keluar rumah,” kata seorang penduduk, Laura, 56.
Lang, yang sebelum ini membuat kenyataan anti-Muslim dan antisemitik, berkata, beliau mahu menjamin keselamatan AS untuk orang Kristian berkulit putih.
Beliau turut hadir di beberapa perhimpunan pro-ICE kecil di Minneapolis minggu ini dan menyasarkan pendatang Somalia, majoritinya beragama Islam.











