DBKL kompaun lima kontraktor gagal ikut SOP

DBKL kompaun lima kontraktor gagal ikut SOP

PEGAWAI Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sewaktu melakukan Operasi Korekan Jalan Awam Siri 1/2026 melibatkan Jalan Kuchai Maju, Jalan Klang Lama, Jalan Puchong, Jalan Desa, Jalan Bangsar, Persiaran Sultan Salahuddin dan Jalan Maharajalela, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 16 notis kompaun terhadap lima kontraktor pembinaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Korekan Jalan Awam Siri 1/2026.

Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melibatkan Jalan Kuchai Maju, Jalan Klang Lama, Jalan Puchong, Jalan Desa, Jalan Bangsar, Persiaran Sultan Salahuddin dan Jalan Maharajalela.

“Pemantauan dan pemeriksaan dijalankan terhadap kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan oleh kontraktor termasuk pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan saluran longkang serta kerja-kerja utiliti seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.

“Hasil pemeriksaan di tujuh lokasi mendapati beberapa kontraktor gagal mematuhi syarat dan kelulusan kerja di tapak operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak meletakkan lampu amaran (blinker), ketiadaan pengawal lalu lintas, menyebabkan kerosakan pada siar kaki, menutup laluan jalan tanpa kebenaran, lori membawa bahan binaan tanpa permit serta mengotorkan laluan jalan awam.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 melibatkan empat notis kompaun, manakala 12 notis lagi dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam operasi sama, CIDB turut mengeluarkan dua notis arahan hadir kepada kontraktor terlibat bagi mengemukakan maklumat berkaitan kerja pembinaan yang dijalankan tanpa kebenaran dan kelulusan.

DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pematuhan peraturan.

Orang awam yang mempunyai aduan atau maklum balas berhubung kerja-kerja korekan jalan awam boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×