MAKASSAR: Pihak berkuasa Indonesia menyambung operasi mencari sebuah pesawat yang membawa tiga kakitangan kerajaan dan lapan anak kapal selepas hubungan dengan pesawat itu terputus semalam.
Pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) itu berlepas dari Yogyakarta dalam perjalanan ke bandar Makassar di Pulau Sulawesi, menurut pihak penyelamat.
Menteri Hal Ehwal Laut dan Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono berkata, tiga kakitangan kementeriannya berada di dalam pesawat tersebut bagi menjalankan misi pemantauan sumber secara udara di kawasan berkenaan.
Lapan orang anak kapal turut berada di dalam pesawat itu, menurut syarikat penerbangan berkenaan. Hubungan dengan pesawat tersebut terputus sejurus selepas pukul 1 tengah hari semalam.
Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Muhammad Arif Anwar memberitahu AFP pasukan penyelamat dikerahkan ke kawasan pergunungan di Kabupaten Maros, yang bersempadan dengan Makassar, berhampiran lokasi terakhir pesawat dikesan.
Operasi pencarian di darat dan udara melibatkan tentera udara, polis serta sukarelawan berdepan cabaran sukar berikutan keadaan topografi pergunungan karst yang tajam serta faktor cuaca yang tidak menentu.
“Kami mengutamakan kepantasan dalam operasi ini, namun faktor keselamatan anggota SAR juga menjadi pertimbangan memandangkan kawasan Puncak Bulusaraung mempunyai kecuraman yang ekstrem,” kata Muhammad Arif.
Sementara itu, Ketua Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Makassar, Andi Sultan, berkata, sebuah helikopter dan dron digunakan dalam usaha mengesan pesawat berkenaan.
Pengeluar pesawat tersebut, syarikat berpangkalan di Perancis, ATR, memaklumkan pihaknya dimaklumkan mengenai satu kemalangan yang melibatkan sebuah pesawatnya.
“Pakar-pakar ATR sedang terlibat sepenuhnya untuk menyokong siasatan yang diketuai oleh pihak berkuasa Indonesia serta pengendali pesawat,” menurut kenyataan syarikat itu.










