PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan semua urusan perolehan melibatkan agensi itu akan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, langkah itu penting bagi memelihara kepentingan awam serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi keselamatan negara.
Menurut beliau, PDRM komited memastikan setiap proses perolehan dipatuhi sepenuhnya mengikut undang-undang, dasar serta arahan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Ia selaras dengan undang-undang, dasar dan garis panduan sedia ada. PDRM mengambil maklum sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu perolehan yang dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM yang berkaitan isu rasuah telah dibekukan sementara.
Pembekuan itu, berkuat kuasa sehingga proses perolehan dilaksanakan sepenuhnya mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan.
Kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti serta menyusun semula semua urusan perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
Selain itu, laporan lengkap akan diperoleh bagi mengenal pasti sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. – UTUSAN










