Pertambahan ahli tidak jamin menang pilihan raya

Pertambahan ahli tidak jamin menang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan agar tidak terus selesa dengan pertambahan jumlah keahlian parti kerana realitinya angka tersebut tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengalaman beberapa pilihan raya lalu membuktikan sokongan pengundi semakin dinamik dan tidak lagi boleh dianggap kekal meskipun parti memiliki keahlian yang besar.

“Kita sering meraikan pertambahan angka keahlian parti sebagai petanda kekuatan. Tetapi hakikat yang mesti kita terima ialah angka keahlian tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi satu ‘wake up call’ terbesar buat kita semua. Kita memasuki gelanggang dengan keyakinan memiliki lebih 622,637 ahli, tetapi undi yang diterima hanyalah 144,584 undi.

“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita,” katanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam.

Asyraf Wajdi berkata, sejarah politik Sabah turut mencatatkan beberapa gelombang penghijrahan besar-besaran pimpinan yang secara langsung menghakis kekuatan UMNO di negeri itu.

Katanya, gelombang pertama berlaku pada 2016 dengan penubuhan Parti Warisan, diikuti penghijrahan sebahagian pimpinan ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2018 serta penyertaan sebahagian lagi ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2023.

“Trend penurunan ini bukan terhad kepada Sabah sahaja. Dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu PRU13, PRU14 dan PRU15 pola yang sama berulang.

“Maka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan PRU16, kita wajib bertanya dengan jujur: Adakah pertambahan 46,655 ahli pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhannya 3.525 juta, sudah cukup untuk menjamin kemenangan?

“Inilah realiti penghijrahan politik yang mesti kita hadapi dengan berani bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara. Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik.

“Apabila nafsu serakah mengatasi prinsip, apabila kepentingan peribadi mengatasi amanah perjuangan, maka kita akan kehilangan nusrah Allah, walau seramai mana pun kita di atas kertas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×