Makanan terakhir serigala purba bongkar rahsia badak berbulu

Makanan terakhir serigala purba bongkar rahsia badak berbulu

ILUSTRASI spesies badak berbulu yang pupus sekitar 14,000 tahun lalu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Sekumpulan penyelidik berjaya menyingkap maklumat baharu tentang abad-abad terakhir kewujudan badak berbulu selepas mengkaji segumpal daging yang ditemukan dalam perut mumia seekor anak serigala purba dalam tanah beku di Siberia.

Sisa tubuh anak serigala betina berusia kira-kira dua bulan yang terpelihara dengan amat baik itu ditemukan pada 2011 berhampiran kampung Tumat di timur laut Siberia. 

Haiwan tersebut dipercayai mati kira-kira 14,400 tahun lalu selepas tanah runtuh menimbus sarangnya, sekali gus memerangkap anak serigala itu bersama yang lain. Keadaan sejuk melampau membolehkan tubuh serigala itu terpelihara selama beribu-ribu tahun. 

Apabila penyelidik memeriksa sisa-sisa tersebut, mereka mendapati kandungan perutnya juga masih utuh. Sebahagian daripada makanan terakhir serigala itu ialah ketulan daging badak berbulu, herbivor besar yang pupus kira-kira 14,000 tahun lalu.

“Penemuan sebegini merupakan satu peluang yang jarang berlaku. Jika bahan genetik badak tersebut dapat diperoleh daripada daging yang separa tercerna itu, ia berpotensi mendedahkan keadaan spesies tersebut ketika menghampiri kepupusan, kata Penyelidik Pusat Palaeogenetik Dr. Camilo Chacón-Duque.

Menurut Chacón-Duque, kekurangan spesimen yang terpelihara dengan baik daripada tempoh akhir kewujudan banyak spesies menjadikan usaha mendapatkan genom haiwan sebelum kepupusan sesuatu yang mencabar.   

Namun secara prinsip, kod genetik itu boleh memberikan petunjuk berharga tentang faktor yang menyebabkan spesies tersebut pupus.

Profesor Evolusi Genomik, Love Dalén berkata, populasi badak berbulu kelihatan masih berdaya maju selama kira-kira 15,000 tahun selepas manusia pertama tiba di rantau itu, sekali gus mencadangkan perubahan iklim yang semakin panas menjadi punca utama kepupusan haiwan berkenaan, bukan pemburuan.

Beliau berkata, faktor utama ialah tempoh pemanasan mendadak pada penghujung zaman ais terakhir, dikenali sebagai Interstadial Bolling-Allerod, yang mengubah landskap antara 14,700 hingga 12,900 tahun lalu.

Bagaimana anak serigala itu memakan daging badak berbulu masih tidak jelas. Ia mungkin memakan bangkai haiwan tersebut selepas dibunuh oleh kumpulan serigala, atau menerima potongan daging itu daripada ahli kumpulan yang memuntahkan semula makanan berkenaan. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×