Ali rancang bina semula Gaza dalam tempoh tiga tahun, buang serpihan runtuhan ke Laut Mediterranean

Ali Shaath rancang bina semula Gaza dalam tempoh tiga tahun, buang serpihan runtuhan ke Laut Mediterranean

ALI Shaath melambai kepada sebuah keluarga Palestin ketika lawatannya di Kaherah, Mesir.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Bekas pegawai kerajaan Palestin, Ali Shaath yang dipilih untuk mentadbir Gaza di bawah perjanjian disokong Amerika Syarikat (AS), mempunyai pelbagai rancangan besar termasuk menolak serpihan runtuhan ke Laut Mediterranean dan membina semula infrastruktur yang musnah di wilayah itu dalam tempoh tiga tahun.

Perlantikan jurutera awam dan bekas timbalan menteri perancangan itu menandakan permulaan fasa seterusnya dalam rancangan Presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan perang Israel di Gaza.

Ali akan mengetuai sekumpulan 15 teknokrat Palestin yang diberi tanggungjawab untuk mentadbir wilayah Palestin itu selepas bertahun-tahun diperintah oleh pejuang Hamas.

Di bawah rancangan Trump, Israel berundur dari hampir separuh Gaza tetapi tenteranya masih mengawal separuh lagi kawasan tandus di mana hampir semua bangunannya musnah. 

Trump sebelum ini pernah mencadangkan menjadikan Gaza sebagai ‘Riviera Asia Barat’.

Ali bakal menghadapi tugas berat untuk membina semula infrastruktur wilayah yang musnah itu dan membersihkan anggaran 68 juta tan runtuhan serta bahan letupan yang belum meletup ketika Israel dan Hamas terus bertempur dalam konflik bersenjata.

Selepas siri konflik terdahulu dengan Israel, penduduk Palestin di Gaza pernah menggunakan serpihan dan runtuhan perang sebagai bahan asas untuk membina resort bersejarah di Gaza City dan projek-projek lain. 

Dalam satu temu bual dengan sebuah stesen radio Palestin pada hari Khamis, Ali mencadangkan pendekatan serupa.

“Jika saya membawa jentolak dan menolak serpihan itu ke laut, serta membentuk pulau-pulau baharu, tanah baharu, saya boleh meluaskan kawasan di Gaza dan pada masa yang sama membersihkan runtuhan,” kata Ali, mencadangkan serpihan itu boleh dialihkan dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, keutamaan segera adalah menyediakan bantuan kecemasan, termasuk membina penempatan sementara untuk penduduk Palestin yang terpaksa dipindahkan. 

Keutamaan kedua adalah memulihkan infrastruktur penting dan asas, diikuti dengan pembinaan semula rumah dan bangunan.

“Gaza akan kembali dan menjadi lebih baik daripada sebelumnya dalam tempoh tujuh tahun,” katanya. 

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2024, membina semula rumah-rumah yang musnah di Gaza dijangka mengambil masa sehingga sekurang-kurangnya 2040, malah mungkin berlanjutan selama beberapa dekad.

BINA SEMULA GAZA

Ali yang dilahirkan pada 1958, berasal dari Khan Younis di selatan Gaza. 

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan menteri perancangan di Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat yang diduduki, tempat beliau kini menetap. 

Dalam peranan itu dan jawatan lain, beliau mengawasi pembangunan beberapa zon perindustrian di Tebing Barat dan Gaza. Beliau memegang PhD dalam Kejuruteraan Awam dari Queen’s University Belfast.

Penilaian optimis Ali mengenai garis masa pembinaan semula Gaza hampir pasti menghadapi cabaran kerana para pengantara bergelut untuk mencapai persetujuan mengenai penyerahan senjata Hamas, yang enggan melepaskan senjata mereka, serta penggubalan pasukan pengaman di wilayah itu.

Masih tidak jelas bagaimana jawatankuasa diketua Ali akan meneruskan pembinaan semula dan mendapatkan kebenaran untuk mengimport serta menggunakan jentera berat dan peralatan yang secara umum diharamkan oleh Israel.

Israel, yang menyatakan kebimbangan keselamatan sebagai alasan mengehadkan kemasukan peralatan tersebut ke Gaza, tidak memberikan respons terhadap permintaan ulasan mengenai perlantikan dan rancangan Ali.

Ali berkata, bidang kuasa jawatankuasa Palestin itu akan bermula dengan wilayah yang dikawal Hamas dan secara beransur-ansur meningkat seiring dengan pengunduran tentera Israel, seperti yang digariskan dalam rancangan Trump.

“Akhirnya, bidang kuasa jawatankuasa akan merangkumi seluruh Semenanjung Gaza sepanjang 365 kilometer persegi dari laut hingga ke sempadan timur,” katanya.

TERIMA SOKONGAN HAMAS

Pembentukan jawatankuasa pentadbir diketuai Ali mendapat sokongan daripada Hamas, yang kini sedang mengadakan perbincangan mengenai masa depan Gaza dengan faksi Palestin lain di Kaherah.

“Tanggungjawab kini terletak di tangan pengantara, penjamin AS dan komuniti antarabangsa untuk memperkasakan jawatankuasa ini,” kata Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim. 

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang kuasanya terbatas di Tebing Barat turut menyatakan sokongan terhadap jawatankuasa itu yang akan mentadbir Gaza melalui fasa peralihan.

“Kami menegaskan kepentingan menghubungkan institusi PA di Tebing Barat dan Gaza serta mengelakkan pembentukan sistem pentadbiran, undang-undang dan keselamatan yang mengekalkan dualiti dan perpecahan,” kata Mahmoud dalam kenyataan yang diterbitkan agensi berita rasmi WAFA.

Israel dan Hamas bersetuju pada Oktober mengenai rancangan berperingkat Trump, termasuk gencatan senjata sepenuhnya, pertukaran tebusan hidup dan mati bagi tahanan Palestin serta lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Perjanjian itu diganggu oleh beberapa isu termasuk serangan udara Israel yang meragut ratusan nyawa di Gaza, kegagalan untuk menuntut kembali baki seorang tebusan terakhir Israel serta kelewatan rejim itu membuka semula sempadan Gaza dengan Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×