Hiasan ukir timbul trend dekorasi dinding 2026

Hiasan ukir timbul trend dekorasi dinding 2026

SENI ukir timbul menggunakan beg paip dan pisau khas dengan kawalan bahan yang sangat teliti bagi memastikan bentuk tidak runtuh atau rosak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA sebelum ini lukisan mural dan kanvas menjadi pilihan utama menghias dinding, kini satu bentuk seni baharu bakal mencuri perhatian dalam dunia dekorasi tempatan iaitu ukir timbul (relief art).

Menurut pereka dalaman, Nor Asyikin Abdullah, 35, seni berunsur tiga dimensi ini bukan sekadar hiasan biasa, tetapi sebuah karya hidup bertekstur yang mampu mengubah suasana ruang secara drastik.

“Seni ukir timbul ini menggunakan bahan seperti plaster atau simen khas yang dibentuk terus di atas dinding. Ia menjadikannya berbeza daripada lukisan biasa.

“Di Malaysia teknik ini masih dianggap baharu dan jarang diterokai oleh pereka dalaman tempatan lain,” jelasnya.

Beliau berkata, memperkenalkan gaya dalaman baharu ini mampu memberi nafas segar dan memenuhi citarasa pengguna masa kini, yang semakin peka terhadap nilai estetik dan keunikan ruang kediaman.

Trend ini juga selari dengan inspirasi dekorasi dari Asia Barat dan Eropah yang menekankan elemen tekstur dan bentuk organik.

Proses menghasilkan ukir timbul bukanlah mudah. Ia bergantung kepada saiz, ketebalan dan kerumitan rekaan.

Bagi karya bersaiz sederhana, biasanya mengambil masa dua hingga tiga hari, manakala rekaan yang lebih kompleks boleh mencecah sehingga seminggu. Faktor pengeringan plaster juga penting iaitu semakin tebal lapisan, semakin lama masa yang diperlukan untuk kering.

Motif flora jadi pilihan

Menurut Nor Asyikin, antara motif paling popular adalah flora iaitu bunga, daun, dan bentuk organik lembut.

Untuk menghasilkan kesan tiga dimensi yang realistik, artis perlu memahami struktur bentuk, lengkungan, cekungan, serta aliran semula jadi objek tersebut.

“Berbeza dengan lukisan dua dimensi yang lebih bebas, ukiran 3D menuntut pemahaman menyeluruh tentang bentuk dan ruang. Seni ukir timbul menggunakan beg paip dan pisau khas, dengan kawalan bahan yang sangat teliti bagi memastikan bentuk tidak runtuh atau rosak.

“Setiap kelopak dan daun dibentuk satu per satu, menjadikan hasil akhirnya tampak eksklusif dan penuh karakter,” katanya.

Keunikan proses ini menjadikan setiap karya berbeza, tetapi tetap unik, sekaligus menonjolkan nilai seni yang tinggi dan bersifat tersendiri.

Kos dan nilai seni

Harga ukir timbul biasanya dikira berdasarkan kaki per segi, bermula sekitar RM55 hingga RM100, bergantung kepada jenis rekaan, penggunaan warna, dan tahap kerumitan.

Bagi karya berskala besar atau yang memerlukan bahan lebih kukuh, kosnya lebih tinggi.

Namun, ramai pelanggan menganggapnya sebagai pelaburan seni jangka panjang kerana ia mampu menaikkan nilai estetika keseluruhan ruang tanpa perlu renovasi besar-besaran.

Sebagai seorang muslimah, Nor Asyikin menetapkan garis panduan tertentu dalam pemilihan motif, khususnya tidak menghasilkan ukiran berbentuk makhluk hidup atas dasar pegangan agama.

Walaupun menerima permintaan daripada pelanggan pelbagai latar belakang, pendekatan ini dijelaskan dengan baik dan kebanyakannya diterima dengan terbuka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×