PETALING JAYA: Pelajar lelaki yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, tahun lalu, layak untuk dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.
Peguam bela, Kitson Fong yang mewakili tertuduh berusia 15 tahun itu memaklumkan laporan pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mendapati anak guamnya itu berupaya memahami prosiding mahkamah yang sedang dihadapinya.
“Tertuduh didapati layak untuk dihadapkan ke mahkamah bagi dibicarakan serta mampu membela diri. Laporan psikiatri itu turut mengarahkan tertuduh ditempatkan di sebuah pusat yang digambarkan sebagai penjara untuk kanak-kanak, iaitu Pusat Koreksional Puncak Alam di Selangor,” katanya selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Dalam prosiding sama, peguam pemerhati, Nur Izni Syazwani Ahmad yang mewakili ibu mangsa turut hadir. Mahkamah kemudian menetapkan 6 Februari ini bagi sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (ketika kejadian) didakwa membunuh mangsa di lokasi tersebut antara pukul 9.20 dan 9.35 pagi, 14 Oktober lalu.
Pertuduhan berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Oktober lalu, remaja lelaki itu diperintah menjalani penilaian psikiatri di hospital berkenaan selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu, keluarga mangsa dalam sidang akhbar selepas kejadian tersebut mendakwa terdapat kira-kira 200 tikaman ditemukan pada badan remaja perempuan tersebut.
Berdasarkan penjelasan ahli patologi, ibu mangsa berkata, kecederaan yang dialami anak bongsunya itu meliputi bahagian leher, termasuk bahagian rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka. – UTUSAN










