Apabila integriti dijual, bangsa menanggung padah

Apabila integriti dijual, bangsa menanggung padah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAJUAN yang hanya berteraskan nilai material tanpa mengangkat insan akan meruntuhkan ketamadunan bangsa. 

Jika kejayaan hanya mahu diukur dengan nilai wang ringgit semata-mata, pastinya kita akan berhadapan masalah moral yang serius apabila dunia sudah ketandusan nilai kemanusiaan dalam kehidupan warganya.

Pada hari ini pun kita sedang berdepan pelbagai masalah moral dan integriti yang semakin membimbangkan. Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk jika kita semua hanya sekadar tahu menuding jari menyalahkan pihak lain, seolah-olah itulah kaedah paling berkesan untuk menyelesaikan segala masalah.

Memasuki tahun baharu 2026, saban hari kita disibukkan dengan pelbagai kerenah dan gerakan politik golongan tertentu yang cuba mencatur hala tuju masa hadapan politik negara.

Di tengah-tengah kekalutan pelbagai isu politik yang datang silih berganti, tiba-tiba negara digemparkan dengan ledakan berita panas tentang siasatan kes berprofil tinggi oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ledakan berita tentang siasatan agensi itu berhubung kes penyalahgunaan dana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) benar-benar mengejutkan. Manakan tidak, kes ini begitu serius dan besar implikasinya kepada negara memandangkan ATM merupakan perisai yang melindungi keselamatan negara. 

Tambahan pula, kes-kes terbabit melibatkan siasatan ke atas pegawai tinggi ATM termasuk bekas Panglima Tentera Darat (PTD), ketika SPRM mengumumkan siasatan tersebut, beliau masih lagi memegang jawatan tertinggi itu, sekali gus menjadikan isu ini lebih sensitif dan mendapat perhatian meluas masyarakat.

Kemudiannya timbul pula pendedahan tentang isu negatif lain didakwa berlaku dalam ATM. Namun, masih tidak diketahui sejauh mana kebenaran dakwaan yang ditularkan itu. Oleh itu, tidak adillah jika kita bertindak mengadili sesuatu perkara yang masih belum dapat dibuktikan dengan sahih.

Belum pun reda kejutan daripada kes-kes yang melibatkan nama-nama besar dalam ATM, SPRM mengumumkan satu lagi berita panas berkaitan siasatan ke atas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan sumbangan orang ramai melibatkan jumlah kutipan derma dengan jumlah amat besar.

Dikatakan sekurang-kurangnya tiga NGO ‘popular’ kini berada dalam radar yang melibatkan kutipan dana bernilai jutaan ringgit. NGO-NGO ini mengutip sumbangan daripada orang ramai dengan alasan yang kedengarannya murni seperti melaksanakan projek pembinaan telaga serta pelbagai misi kemanusiaan di Syria, Yaman, Palestin dan sebagainya. 

Namun, di sebalik kerja kebajikan yang di gembar-gemburkan dan ditunjukkan untuk tatapan umum, tersingkap sifat pemimpin-pemimpin NGO  terbabit menyalahgunakan sebahagian daripada wang derma untuk memperkayakan diri masing-masing.

Kes-kes pecah amanah, rasuah dan penipuan secara terancang yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa demi kemewahan hidup memperlihatkan betapa parahnya nilai moral pada hari ini. Bagi sesetengah pihak, soal integriti dan moral tidak lagi berharga dan boleh dijual beli pada bila-bila masa sahaja.

Dalam konteks ini, mungkin ada yang tertanya-tanya di manakah silapnya sehingga boleh berlakunya hal-hal sedemikian yang sudah tentu mencalarkan maruah negara bangsa?

Itulah padahnya apabila nilai moral dan integriti sudah dipijak-pijak dan dibuang ke tepi kerana mengejar harta yang melangit. Padahnya memang pedih untuk dihadapi.

 

KERUNTUHAN moral dan integriti berpunca daripada kegagalan bersama memelihara nilai kemanusiaan dalam diri, keluarga dan masyarakat.

 

SALAHKAN PIHAK LAIN

Hari ini kita terpaksa berhadapan dengan masalah yang terjadi akibat kesilapan lalu dan jika masih berpeluk tubuh dan merasakan itu bukan tanggungjawab kita, maka kelak akan berhadapan masalah lebih besar akibat daripada kehancuran moral yang lebih buruk. 

Malangnya, dalam keadaan sekarang, masih ramai belum sedar dan apabila bercakap tentang masalah moral, ramai yang sibuk mencari jalan penyelesaian mudah dengan menyalahkan pihak lain khasnya guru-guru dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dituduh gagal mendidik anak bangsa dengan nilai-nilai murni.

Kita menghabiskan terlalu banyak masa menghentam pihak lain sambil membiarkan masalah di depan mata tambah meruncing. Ada pula pihak yang mengambil kesempatan untuk mempolitikkan keadaan dan menuntut pelbagai perubahan tanpa mahu melihat punca masalah.

Walhal sepatutnya mengambil iktibar daripada kerosakan moral yang sedang berlaku di sekeliling dan sentiasa bermuhasabah diri serta berusaha melakukan perubahan memperbaiki keadaan.

Jika semua ahli keluarga bersikap bertanggungjawab memastikan akhlak ahli keluarga terjaga, pastinya masalah moral tidak menjadi seteruk ini.

Namun begitu, ada golongan ibu bapa yang bukan sahaja bersikap lepas tangan dalam konteks membentuk akhlak anak-anak tetapi marah jika ditegur walaupun melakukan kesilapan  besar.

Disebabkan itu, kita harus kembali kepada tujuan sebenar menuntut ilmu  bagi menghindari dan mengelak daripada diperdayakan oleh budaya pendidikan berkiblatkan kemegahan dan kejayaan material semata-mata.

Jiwa kita harus dididik dengan ilmu dan kesedaran tentang pentingnya mengamalkan sikap kemanusiaan, kasih sayang dan belas kasihan dalam hidup.

Pandai sahaja belum mencukupi tanpa kebijaksanaan dan kebaikan budi pekerti. Apa gunanya berteriak menuduh orang lain melakukan kesalahan jika kita juga akan berbuat sedemikian sejurus sahaja mendapat peluang.

Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengingatkan jawatan serta kuasa yang disandang hari ini merupakan ujian terhadap tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang insan.

Seterusnya baginda bertitah  jawatan dan kuasa jika tidak dikembari dengan iman dan takwa boleh menjejaskan ketauhidan seseorang insan.

Semoga kita sentiasa bermuhasabah diri dan mengelakkan diri daripada tergelincir daripada jalan yang lurus. -UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×