Tarikh ada, penganjur belum ada

Tarikh ada, penganjur belum ada

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bergambar bersama atlet pada Majlis Amanat Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan Tahun 2026 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam. Di sebelah beliau Jefri Ngadirin. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status mengenai penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 masih belum terjawab meskipun Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) telah mengesahkan perlumbaan berstatus 2.0 itu kekal dalam kalendar siri jelajah dunia musim ini.

UCI mengesahkan LTdl 2026 bakal dianjurkan pada 27 September hingga 4 Oktober ini, sekali gus menyaksikan tempoh persiapan berbaki kurang daripada lapan bulan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang merisaukan sebaliknya mendapatkan peruntukan dana daripada kerajaan menjadi keutamaan.

“Jangan risau, kita ada banyak masa lagi sebab tahun lepas kita adakan perbincangan dengan pihak berkaitan pada April. Paling utama adalah pasukan (berstatus Jelajah Dunia) mahu bertanding di Malaysia.

“Itu kerja PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia). Kita (MSN) sudah menganjurkannya pada 2023 hingga 2025 dan mendapat pengiktirafan penganjur terbaik.

“Isu penganjuran bukan isu besar tetapi isu sekarang sama ada kita dapat dana daripada kerajaan. Apabila dapat kelulusan, kita akan bersedia untuk menganjurkan dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Jefri turut berkata, satu kertas kerja akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini bagi mendapatkan kelulusan penganjuran serta peruntukan dana bagi tahun 2026.

“Kita akan bentangkan permohonan kepada Kabinet dalam masa terdekat, mungkin hujung bulan ini. Dapat keputusan, baru kita boleh umumkan siapa penganjur dan jumlah dana yang kita perolehi nanti.

“Ini melibatkan peruntukan yang besar, jadi kita perlu mohon pada kerajaan dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi,” katanya.

Selain MSN, antara pihak swasta yang pernah menganjurkan perlumbaan LTdL adalah Human Voyage Sdn Bhd dan Ciclista Sports. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×