KANSER kekal sebagai antara cabaran kesihatan awam paling besar di Malaysia dengan statistik menunjukkan penyakit ini menjadi punca kematian ketiga tertinggi negara pada 2023 dan terus mencatat peningkatan sehingga tahun lalu.
Di sebalik kemajuan perubatan, kos rawatan yang tinggi serta akses terhad kepada terapi berketepatan tinggi masih menjadi kekangan utama ramai pesakit.
Sehubungan itu, ahli fizik perubatan di Universiti Taylor’s, Prof. Dr. Yeong Chai Hong menjadikan keprihatinan itu sebagai pemangkin kepada penyelidikan yang berfokus kepada satu matlamat utama iaitu menghasilkan rawatan kanser yang berkesan, tepat dan pada masa sama mampu milik.
“Penjagaan kanser berketepatan tinggi tidak seharusnya menjadi keistimewaan golongan tertentu sahaja.
“Ia sepatutnya boleh diakses oleh semua pesakit, tanpa mengira latar belakang ekonomi,” katanya.
Berbekalkan visi itu, Dr. Yeong bersama pasukan multidisiplin Taylor’s University membangunkan dua inovasi saling melengkapi iaitu Terapi RadioEmbolisasi Samarium (REST) dan Rod Holmium-166 Bioterurai yang direka untuk menangani pelbagai jenis tumor dan keperluan klinikal.
REST merupakan kaedah radioterapi dalaman invasif minimum yang menyasarkan tumor kecil hingga sederhana melalui aliran darah. Ia menggunakan Samarium-153, radioisotop kos rendah yang mampu memusnahkan sel kanser secara lebih tertumpu.
Menerusi kaedah ini, mikrosfera biokompatibel yang membawa bahan radioaktif dihantar terus ke tumor melalui saluran darah, sekali gus meminimumkan pendedahan sinaran ke atas tisu sihat di sekeliling.
Kajian praklinikal menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan pengurangan saiz tumor, manakala pasukan penyelidik kini bersedia melangkah ke fasa ujian klinikal pertama untuk menilai keselamatan dan keberkesanannya.
Menariknya, REST turut menitikberatkan kualiti hidup pesakit. Rawatan ini berpotensi mengurangkan lawatan ke hospital, kesan sampingan dan beban rawatan, terutamanya bagi pesakit kanser tahap lanjut.
Namun, Dr. Yeong mengakui tidak semua tumor sesuai dirawat melalui kaedah vaskular. Tumor yang besar atau mempunyai aliran darah tidak teratur memerlukan pendekatan berbeza.
Di sinilah peranan Rod Holmium-166 Bioterurai, inovasi kedua yang diletakkan terus ke dalam tumor bagi membolehkan penghantaran sinaran lebih terkawal dan tepat.
Rod ini bukan sahaja bioterurai, malah mampu mengekalkan hampir keseluruhan bahan radioaktif di tapak rawatan sebelum terurai secara semula jadi dan disingkirkan oleh badan.
Keupayaan Holmium-166 untuk dikesan melalui pengimejan seperti SPECT dan CT turut memudahkan doktor memantau kedudukan serta dos rawatan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pesakit.










