ALOR SETAR: Sebanyak 1,000 kilogram (kg) sisa buangan termasuk barangan yang boleh dikitar semula berjaya dikumpulkan E-Idaman Sdn. Bhd. yang mengadakan program pembersihan dasar laut dan pesisir pantai di Pulau Payar, dekat sini.
Aktiviti yang digerakkan oleh Kelab Idaman Divers syarikat tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Kedah, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud berkata, program yang julung kali dianjurkan melibatkan 42 peserta termasuk 21 penyelam dalam kalangan kakitangan E-Idaman serta sukarelawan.
“Kami memberi tumpuan kepada pembersihan pukat yang tersangkut pada terumbu karang di dasar laut dan sampah di sepanjang pesisir pantai pulau tersebut,” katanya.
Zaki berkata, E-Idaman juga sebelum ini telah mengadakan aktiviti pembersihan pesisir pantai di Pulau Payar serta program pengindahan pulau berkenaan.
“Selain Pulau Payar, Kelab Idaman Divers yang ditubuhkan pada 2013 pernah mengadakan aktiviti pembersihan terumbu karang di beberapa pulau di negeri Kedah,” katanya.
Ahli kelab Idaman Divers, Mohd. Rizam Che Beson berkata, mereka terpanggil untuk mengadakan program pembersihan di situ selepas mendapat maklum balas daripada Jabatan Perikanan Negeri Kedah.
“Pulau Payar bukan sahaja kawasan pelancongan, tapi ia juga kawasan pembiakan ikan-ikan di perairan negeri ini. Pencemaran seperti pukat hanyut yang tersangkut di batu karang bukan saja merosakkan karang, malah mengancam habibat pembiakan ikan,” ujarnya. – UTUSAN









