BAGAN DATUK: Hanya seorang murid mendaftar Tahun 1 bagi sesi 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak di sini semalam.
Raissyah Aafiyah Rahmat, 7, memulakan sesi persekolahan di sekolah tersebut yang sememangnya mengalami kekurangan murid sejak beberapa tahun lalu.
Bagi sesi persekolahan tahun ini, sekolah itu mempunyai lapan murid terdiri daripada lima murid lelaki dan tiga murid perempuan dan mempunyai lapan orang guru.
Raissyah Aafiyah datang ke sekolah bersama bapanya, Rahmat Baok, 49, dan ibu, Suzana Aziz, yang merupakan guru di sekolah tersebut.
Raissyah Aafiyah berkata, dia seronok bersekolah kerana kakaknya Rania Adriana,11, juga bersekolah di sekolah tersebut dan kini berada di Tahun 5.
“Saya seronok walaupun sekolah ini agak jauh dari rumah saya di Tebuk Iman Basir di Selekoh, saya datang bersama ibu yang juga guru sekolah ini,” katanya.
SK Tebing Rebak dibina sejak 1950-an, terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Bagan Datuk, mengalami kekurangan murid sejak beberapa tahun lalu disebabkan kekurangan penduduk yang berhijrah.
Tahun 2025, hanya lapan murid bersekolah di sekolah itu.
Jumlah lapan murid pada tahun lalu sama dengan jumlah murid tahun sebelumnya. – UTUSAN











