PUTRAJAYA: Kompleks Sekolah Presint 15 yang menempatkan blok sekolah menengah, sekolah rendah dan prasekolah akan mula beroperasi mulai sesi persekolahan baharu Januari depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, bermula bulan ini, barisan pentadbir dan guru sekolah akan ditempatkan di kompleks sekolah ini.
Beliau berkata, Pejabat Pendidikan Wilayah Putrajaya akan menguruskan penempatan guru dan memastikan bilik darjah bersedia untuk menyambut kumpulan pertama pelajar pada Januari akan datang.
“Pada masa ini, kita sedang mengemas dan mengenal pasti semua pihak terlibat bagi memastikan kompleks ini dapat beroperasi dengan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Penyerahan Pembinaan Sekolah Baharu Kompleks Sekolah Presint 15, di sini, hari ini.
Katanya, kompleks sekolah ini menempatkan 36 bilik darjah sekolah rendah, 42 bilik darjah sekolah menengah dan lima kelas prasekolah.
Dr Aminuddin berkata, bermula sesi persekolahan baharu tahun depan, akan ada murid baharu yang akan mendaftar terus serta murid lain yang sebelum ini menumpang di sekolah lain.
Menurutnya, secara keseluruhan, pihaknya berdepan kekurangan 36 bilik darjah bagi tahun 2026 dan dengan siapnya kompleks baharu ini, ia diharap dapat mengurangkan kepadatan hampir 2,000 pelajar yang kini berada di beberapa sekolah.
“Saya dimaklumkan, sebuah sekolah di Presint 18 dijangka siap tidak lama lagi dan ia juga diharap dapat mengurangkan kepadatan di sekolah sedia ada.
“Sekolah berkenaan juga menggunakan model kompleks sekolah melibatkan blok sekolah menengah, rendah dan pra sekolah,” katanya.
Kompleks Sekolah Presint 15 merangkumi pembinaan satu blok bangunan sekolah menengah, satu blok bangunan sekolah rendah, satu unit dewan serbaguna, satu unit surau dan dua unit pondok pengawal.
Ia juga menempatkan satu unit bangunan kemudahan PPE, satu unit stesen pam kumbahan, satu unit rumah pam, satu unit tangki air, dua unit kebuk sampah, satu unit bilik kebal dan dua unit tempat ruang menunggu pelajar. – UTUSAN










