JERLUN: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Nan di Ayer Hitam, di sini menerima dua murid tahun satu bagi sesi 2026 bermula semalam, menjadikan jumlah keseluruhan murid sekolah itu lima orang.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah itu semalam mendapati, aktiviti di sekolah berkenaan yang mempunyai lima guru tetap berjalan dengan penuh bersemangat dan ceria.
Ada dua kelas di sekolah yang ditubuhkan pada 1932 itu iaitu untuk murid tahun satu dan tahun empat serta lima.
Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, SJKC Chee Nan beroperasi seperti biasa termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Harvard 2 di Yan yang hanya menerima empat murid tahun satu, semalam.
“Pendidikan memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar walaupun kapasiti sekolah itu kurang daripada 10 pelajar. Masih beroperasi walaupun sedikit yang mendaftar,” katanya.
Mereka merupakan antara 345,259 pelajar memulakan sesi persekolahan 2026 di Kedah termasuk 29,004 murid tahun satu.
Selain dua sekolah itu, tiga lagi SJKT iaitu Ladang Anak Kulim, Ladang Sungai Dingin dan Ladang Dublin Bahagian 7 di Kulim serta SJKT Ladang Kupang di Baling masing-masing hanya mempunyai 10 murid tahun satu. – UTUSAN










