Tahun 2026 menandakan satu fasa baharu yang penting bagi sistem pendidikan Malaysia. PPPM 2013-2025 telah tamat sepenuhnya. Tahun 2026 bermula dengan Pelan Pendidikan baharu. Kurikulum Baharu 2027 juga dimulakan pada 2026 di pra sekolah.
Aspirasi pendidikan di tahun 2026 seharusnya bermula dengan semangat pembaharuan yang menjurus kepada harapan yang lebih tinggi untuk melihat keterangkuman pendidikan, mengutamakan kesejahteraan dan sahsiah murid serta hasrat untuk melihat berlakunya peningkatan kualiti pembelajaran sejak peringkat awal kanak-kanak hingga ke tahap menengah.
Selepas lebih lima tahun berlalu sejak 2020, maka pada 2026 bermula pembukaan sesi persekolahan kembali pada Januari, menandakan pemulihan sepenuhnya sistem pendidikan negara.
Takwim persekolahan untuk 2026 akan kembali selaras dengan tradisi persekolahan dibuka pada awal tahun dan memberi peluang kepada keluarga dan murid untuk merancang sesi persekolahan dengan lebih teratur. Ini termasuk persiapan daripada segi mental, fizikal dan juga kewangan, terutama dalam menyediakan kelengkapan asas sebelum murid melangkah masuk ke kelas.
Tentunya salah satu inisiatif terbesar pendidikan di awal tahun yang terus membantu rakyat adalah Bantuan Awal Persekolahan (BAP), yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu untuk meringankan beban kos persekolahan keluarga. Pada 2026, kerajaan memperuntukkan hampir RM800 juta untuk diberikan RM150 kepada kira-kira 5.2 juta murid sekolah kerajaan, merangkumi tahap prasekolah, sekolah rendah dan menengah.
BAP bukan sekadar membantu keluarga daripada segi kewangan, tetapi turut memberi impak psikologi yang positif kepada murid dari keluarga miskin tegar. BAP bukan sahaja satu inisiatif bantuan berjangka pendek semata-mata, tetapi juga bertindak sebagai pemangkin kepada kestabilan emosi pelajar, terutamanya ketika peralihan murid dari peringkat tadika ke sekolah rendah atau dari sekolah rendah ke menengah.
Kita tidak boleh nafikan persediaan fizikal seperti pakaian sekolah, buku dan peralatan pembelajaran yang baharu di awal tahun sering dikaitkan dengan keyakinan diri pelajar di sekolah.
Anak-anak pada fasa ini memerlukan pakaian, buku dan peralatan alat tulis yang serba baharu. Walaupun di mata orang dewasa hal seperti ini mungkin sesuatu yang remeh, tetapi di hati seorang anak kecil, kesan emosinya adalah besar. BAP sekurang-kurang membantu emosi anak-anak dalam situasi ini.
Kita tahu bahawa sistem pendidikan yang berkualiti bermula daripada pendidikan awal kanak kanak. Di bawah Belanjawan 2026, selain peruntukan prasekolah sedia ada seperti bantuan awal persekolahan dan program sarapan, sebenarnya kerajaan juga telah menyediakan pelbagai peruntukan tambahan bagi memperkukuh pendidikan prasekolah dan pendidikan awal kanak-kanak.
Di antaranya, termasuk pembinaan tabika dan taska baru, penambahan guru-guru prasekolah yang lebih ramai serta peningkatan fasiliti sedia ada di prasekolah.
Pendidikan awal bukan sahaja memupuk asas pembelajaran asas seperti kemahiran bahasa dan numerasi, tetapi turut membantu perkembangan sosial, emosi dan kognitif kanak-kanak, elemen penting sebelum mereka memasuki peringkat pendidikan formal yang lebih kompetitif.
Kementerian Pendidikan Malaysia( KPM) bertindak proaktif dengan menyediakan Kurikulum Baharu Pra sekolah yang akan dimulakan pada tahun 2026. satu usaha yang sangat penting dalam memastikan isu keciciran 3M dalam kalangan murid dapat diatasi seawal mungkin.
Pastinya di tahun ini, isu keciciran persekolahan murid akan terus menjadi fokus utama KPM dan kerajaan. Data terbaru menunjukkan jumlah murid tercicir dari alam sekolah menurun keseluruhan daripada 21,748 orang pada 2020 kepada 13,007 orang pada 2024.
Statistik ini termasuk 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah yang berjaya dikembalikan ke sekolah melalui program intervensi khas yang berjaya dilaksanakan oleh KPM sejak tiga tahun lalu.
Penurunan kadar keciciran persekolahan ini adalah satu pencapaian penting, namun tidak bermakna usaha sudah selesai. KPM kini terus giat memperluaskan program seperti penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif (K9 dan K11) terutama di kawasan yang berdepan cabaran geografi atau sosioekonomi, sebagai langkah strategik mengekalkan murid dalam sistem pendidikan. Usaha ini akan membuka peluang untuk anak-anak di kawasan pedalaman meneruskan persekolahan mereka hingga ke tingkatan lima dan akhirnya menduduki peperiksaan SPM.
Kita tahu keciciran persekolahan sangat dipengaruhi kemiskinan keluarga, kesihatan murid serta jarak rumah dan sekolah yang jauh. Oleh itu, menjadi fokus untuk KPM untuk meneruskan agenda membantu murid-murid yang berhadapan dengan isu kewangan keluarga, pengangkutan ke sekolah, masalah pembelajaran.
Justeru, KPM mempunyai peranan terus mengupayakan institusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi meneruskan usaha di lokaliti masing-masing melalui pendekatan berterusan dengan melibatkan bukan sahaja agensi kerajaan seperti polis tetapi juga bersama masyarakat setempat.
Kajian pendidikan mengesahkan antara asas utama kepada kejayaan sistem pendidikan adalah kolaborasi erat antara ibu bapa, guru, agensi kerajaan dan pihak swasta. Pendidikan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, ia memerlukan sinergi yang bersepadu dari pelbagai pihak untuk memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada murid.
Ibu bapa pula mempunyai peranan besar di rumah dalam memberi panduan sahsiah dan moral, mencipta suasana pembelajaran yang positif di rumah dan bekerjasama rapat dengan guru untuk memantau perkembangan anak. Manakala sektor swasta pula boleh membantu melalui program tanggungjawab sosial korporat, biasiswa, bimbingan kemahiran dan inisiatif teknologi pendidikan.
Sebagai contoh, pelbagai program sokongan pembelajaran luar bilik darjah boleh dilakukan oleh pihak korporat di kawasan luar bandar atau menyediakan sumber pembelajaran digital boleh melengkapkan usaha pihak sekolah. Ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pendidikan murid, malah menjadikan sistem pendidikan lebih inklusif dan relevan kepada kehendak abad ke-21.
Memasuki 2026, pastinya sistem pendidikan Malaysia akan terus berada di persimpangan antara cabaran dan harapan masyarakat. Cabaran seperti jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar, kekurangan guru di pedalaman, kos hidup meningkat serta risiko keciciran murid memerlukan pendekatan lebih proaktif dan bersepadu. Namun yang pasti, dengan komitmen kerajaan meneruskan inisiatif penting seperti BAP, fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak, serta sokongan aktif dari ibu bapa dan masyarakat, sistem pendidikan kita pasti akan menuju ke arah yang lebih terangkum dan berkualiti.
Menguruskan sistem pendidikan negara bukan sekadar keupayaan memahami laporan statistik pendidikan tetapi lebih daripada itu, keupayaan untuk memahami harapan setiap ibu bapa terhadap masa depan pendidikan anak-anak.
Semoga 2026 menjadi mercu tanda kejayaan bersama, di mana setiap murid tidak hanya hadir ke sekolah kerana terpaksa, tetapi hadir ke sekolah kerana mahu belajar perkara baharu dan menyeronokkan serta mengembangkan potensi dan bakat mereka.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM)










