Lima gerai pasemborpopular di Pulau Pinang

Lima gerai pasembor popular di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG sememangnya terkenal kepelbagaian makanan sama ada tradisional atau moden.

Selain nasi kandar, satu lagi makanan yang sering dikaitkan dengan negeri ini ialah pasembor atau rojak mamak.

Pasembor bukan sekadar makanan jalanan, tetapi, sudah menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Pulau Pinang kini.

Berbanding rojak biasa atau rojak utara, pasembor dapat dibezakan menerusi penyediaan kuah, bahan utama serta lokasi jualan.

Bagi rojak biasa, kuahnya lebih atau campuran antara pedas dan manis serta terdiri daripada bahan asas seperti buah, sayur atau cucur.

Pasembor pula mempunyai lebih banyak pilihan terutama pelbagai jenis gorengan seperti cucur udang, sotong, tauhu, kek ikan dan telur rebus yang digabungkan bersama sayur segar serta mempunyai kuah kacang pekat yang digaul dengan rempah.

Kuah pasembor menjadi elemen paling penting dalam hidangan ini. Ia dimasak daripada kacang tanah dan ubi keledek bersama rempah tertentu sehingga mencapai rasa yang seimbang.

Walaupun bahan asasnya hampir sama, rasa pasembor itu tetap berbeza antara satu gerai dengan yang lain.

Perbezaan ini bergantung kepada cara masakan dan resipi yang diwarisi oleh setiap peniaga.

Pasembor dipercayai mula diperkenalkan oleh komuniti India Muslim atau Mamak di Pulau Pinang sejak era sebelum kemerdekaan.

Pada waktu itu, pasembor dijual menggunakan kereta tolak di tepi jalan sebagai makanan ringkas untuk orang ramai.

Daripada jualan kecil di tepi jalan, pasembor berkembang dan diterima oleh semua kaum. Hari ini, pasembor boleh ditemukan di kompleks-kompleks makanan, astaka serta kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.

Usaha kerajaan Pulau Pinang untuk mencalonkan pasembor sebagai antara 10 menu tradisi untuk diiktiraf sebagai Makanan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 mencerminkan pengiktirafan terhadap nilai sejarah dan budaya hidangan ini.

Selain pasembor, turut tercalon ialah nasi kandar, mi hokkien, char kuekak, mi udang, mi sotong, oh chien (omelet tiram), kerabu bihun, mi jawa dan roti benggali.

Pencalonan ini sekali gus memberi isyarat pasembor bukan sekadar makanan, tetapi juga merupakan satu khazanah yang perlu dipelihara.

Hussain Pasembur
Di Medan Renong Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang, Hussain Pasembur menjadi antara gerai yang masih mengekalkan rasa tradisional.

Pemiliknya, Mohamed Hussain Mohd. Sheriff, 61, berkata, perniagaan tersebut bermula sekitar 1951.

“Dulu pasembor hanya ada cucur udang, telur rebus dan tauhu. Ia makanan ringkas untuk orang yang datang ke Padang Kota.

“Tetapi, sekitar 1980-an, pelanggan mula mahukan lebih banyak pilihan gorengan,” katanya.

Kini, gerai tersebut menawarkan antara 25 hingga 30 jenis gorengan.

Namun, resipi kuah pasembor masih dikekalkan seperti yang diwarisi daripada ayahnya.

“Saya masih guna resipi lama. Menggunakan rempah berkualiti yang diimport dan hasilkan kuah tidak terlalu pedas dan sesuai untuk semua,” katanya.

 

Gani Famous Pasembur
Masih di Medan Renong, Gani Famous Pasembur pula menampilkan pendekatan berbeza.

Pemiliknya, Jamil Kader Gani, 39, mengolah kuah pasembor mengikut cita rasa semasa berasaskan resipi keluarga.

“Saya hanya perbaiki rasa dengan menambah buah kurma dan kacang gajus, supaya lebih seimbang, tapi asasnya tetap sama,” ujarnya.

Jamil menghasilkan kuah pasembor siap guna menggunakan teknik retort hasil penyelidikan dan pembangunan sendiri.

“Kuah tersebut mampu disimpan sehingga lebih dua tahun tanpa menjejaskan kualiti rasa, dan bukan sahaja sesuai digunakan sebagai kuah pasembor, malah boleh dijadikan pencicah cucur udang dan pelbagai makanan lain,” jelasnya.

Walaupun baru setahun dipasarkan secara kecil-kecilan di kedai, sambutannya amat menggalakkan.

Dia turut merancang untuk meluaskan pengeluaran serta membuka peluang francais pada masa hadapan.

 

Kareem Pasembur Rojak
Sementara itu, di Jalan Lebuh Union, Kareem Pasembur Rojak masih mengekalkan konsep pasembor jalanan menggunakan kereta roda empat.

Perniagaan ini diwarisi oleh Abdul Kareem K. Yusoff, 77.

“Ayah saya mula berniaga di sini sejak lama dulu. Saya cuma sambung apa yang dia buat,” katanya.

Keunikan pasembor di gerainya terletak pada sambal sotong yang dicampurkan bersama kuah yang kurang pekat kerana digaul bersama ubi.

Disco Pasembur
Satu lagi lokasi pasembor popular di Pulau Pinang ialah Pasembur Pulau Mutiara atau lebih dikenali sebagai Disco Pasembur yang terletak di Persiaran Gurney.

Gerai pasembor ini sering menjadi tumpuan apabila pemiliknya menyediakan pasembor sambil menari dan menyanyi mengikut irama lagu Hindustan.

Shahul Hameed Ayub Khan, 49, yang mengusahakan perniagaan itu berkata, kaedah tersebut menjadi identiti gerainya dan berjaya menarik perhatian pelanggan serta pelancong yang ingin menikmati pasembor dalam suasana lebih santai dan menghiburkan.

“Lebih 20 tahun, pasembor dihidangkan sambil menari dan menyanyi.

“Sebenarnya, idea ini popular selepas diperkenalkan oleh saudara saya, Ayob Khan.

“Setelah arwah meninggal dunia akibat Covid-19 lima tahun lalu, saya ambil-alih tradisi itu,” katanya.

 

Zulaikha Pasembur
Sementara itu, Zulaikha Pasembur di Astaka Padang Brown mengekalkan konsep menggoreng semula gorengan dipilih pelanggan.

Langkah itu bagi memastikan hidangan disajikan panas dan rangup.

Difahamkan, gerai ini telah beroperasi selama 15 tahun sebelum menukar nama daripada Ghani Pasembur kepada Zulaikha Pasembur pada 2021.

 

Rasa tersendiri, tiada tandingan
Seorang pelanggan, Akmal Izzuddin, 25, berkata, keenakan pasembor Pulau Pinang sukar ditandingi di negeri-negeri lain.

“Setiap kali keluarga atau kawan-kawan datang, pasti saya akan bawa mereka makan juadah ini.

“Tambahan pula, saya memang penggemar pasembor,” katanya.

Mohamed Gazali, 47, pula menyifatkan pasembor sebagai makanan rujinya setiap hari.

Lokasi gerai pilihannya adalah di sekitar Jalan Lebuh Union.

“Hampir setiap hari saya makan pasembor di sini.

“Kuahnya ‘ringan’, walaupun selalu makan, tetap tidak muak,” katanya.

Dia gemar mencampurkan cucur udang, tauhu dan telur rebus ke dalam hidangan pasembor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×