PETALING JAYA: Pensijilan halal meningkatkan kualiti dan pengurusan dalam operasi restoran supaya lebih teratur dan bersih dalam mematuhi piawaian ditetapkan dalam Islam.
Pengalaman itu diakui Pengarah Restoran sajian barat, Lafayette, Jack Lau, sepanjang ‘perjalanannya’ mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, usaha mendapatkan pensijilan halal itu mendorong pasukan mereka meningkatkan standard operasi secara menyeluruh, termasuk kebersihan dapur, pengendalian makanan dan rantaian bekalan.
“Sistem halal itu sendiri menjadikan pengurusan restoran lebih teliti, malah memberi makna lebih mendalam kepada jenama. Ia merupakan evolusi terpenting restoran ini sepanjang sembilan tahun beroperasi,” katanya dalam kenyataan sempena majlis meraikan pensijilan halal di Lafayette, The Starling baru-baru ini.
Lafayette ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu dan pensijilan halal itu turut diberikan kepada tiga cawangan Lafayette di Southlink Bangsar South, The Starling dan The Flo Bandar Sri Damansara.
Lau berkata pencapaian itu turut membuktikan kesungguhan menyediakan hidangan berkualiti untuk semua pelanggan tanpa mengira latar belakang atau bangsa.
“Kami mahu restoran ini tidak sekadar restoran, tetapi pilihan utama pelanggan yang menghargai kualiti dan status halal,” katanya.
Dalam perancangan masa depan, Lau merancang membuka dua lagi cawangan baharu di Sarawak dan Rawang.
Antara menu ditawarkan di Lafayette ialah Japanese Garlic Fried with Fried Chicken Chop, Lafayette Lamb Shanks, Hawaiian Chicken Chop, Smoked Duck Aglio Olio dan Classic Lasagna. – UTUSAN










