YANGON: Myanmar membuka proses pengundian fasa kedua pilihan raya, yang menurut pemerhati demokrasi, membolehkan tentera mengekalkan kuasa mereka di sebalik penampilan pemerintahan awam.
Mengikut pemerhatian wartawan AFP, pusat pengundian dibuka pada pukul 6:00 pagi Ahad di kawasan pilihan raya Kawhmu, bekas kerusi tokoh demokrasi Aung San Suu Kyi kira-kira 25 kilometer di selatan bandar Yangon.
Selepas memerintah secara paksa selama lima tahun, junta menjanjikan pilihan raya tiga fasa yang dijadualkan berakhir pada 25 Januari akan mengembalikan kuasa kepada rakyat.
Namun, Parti Kesatuan dan Pembangunan (USDP) yang digambarkan oleh ramai penganalisis sebagai ejen utama tentera memenangi hampir 90 peratus kerusi Dewan Rendah dalam fasa pertama akhir bulan lalu.
Dengan Suu Kyi disisihkan dan partinya yang sangat popular dibubarkan, pendukung demokrasi mengatakan undian kali ini diatur dengan memasukkan sekutu tentera dan menekan suara pembangkang.
Fasa pertama mencatatkan kadar keluar mengundi sekitar 52 peratus, jauh lebih rendah daripada kira-kira 70 peratus pada pilihan raya 2020, ketika majoriti rakyat menyokong parti Suu Kyi.
Pengundian tidak dijalankan di kawasan besar yang dikuasai puak pemberontak yang dituduh tentera melancarkan serangan dron, roket dan bom pada hujung minggu fasa pertama pilihan raya, mengakibatkan lima kematian.
Pakar Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Andrews dalam satu kenyataan berkata, junta mengadakan pilihan raya ini untuk menampakkan imej positif, memperbaiki hubungan diplomatik, menarik pelaburan asing dan melemahkan momentum puak pemberontak.
Tanpa mengira keputusan pilihan raya, satu perempat kerusi Parlimen akan diperuntukkan untuk tentera berdasarkan perlembagaan yang dirangka semasa pemerintahan tentera terdahulu.
Walaupun tiada angka rasmi mengenai perang saudara Myanmar, kumpulan pemantau ACLED yang merekodkan laporan media tentang keganasan menganggarkan kira-kira 90,000 orang terbunuh di kedua-dua pihak.
Ketua junta, Min Aung Hlaing tidak menolak kemungkinan menukar peranannya daripada ketua tentera kepada Presiden sekiranya kerajaan baharu dibentuk.-AFP










