JOHOR BAHRU: Gangguan teknikal sistem eGate yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini semalam hanya melibatkan pemegang pasport asing.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI dalam kenyataan berkata, warganegara Malaysia masih boleh menggunakan sistem tersebut seperti biasa tanpa sebarang masalah.
Katanya, bagi pemegang pasport asing, bantuan dan panduan akan diberikan untuk menggunakan eGate di dewan bas masuk (eGate 19, 20, 21 dan 22) dan dewan bas keluar (eGate 5, 6, 7 dan 8).
“Buat masa ini, keadaan di semua zon adalah terkawal dan pergerakan pengembara berjalan dengan lancar. Pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama AKPS sedang giat menjalankan tindakan pembaikan serta pemantauan bagi menangani isu ini,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, sebagai langkah mengurangkan kesesakan, pelawat asing dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi MyNiise bagi menggunakan kaunter QR serta kaunter manual yang telah disediakan.
AKPS BSI turut mengingatkan pengembara supaya sentiasa memastikan dokumen perjalanan teratur dan masih dalam sah laku sebelum memasuki kaunter pemeriksaan imigresen.
“Kemukakan visa bagi negara yang memerlukan visa serta tambah nilai kad Touch ‘N Go dan pastikan baki kad mencukupi sebelum tiba di BSI. Adalah diwajibkan menyemak status kelayakan di portal Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) dan mengisi butiran perjalanan sebelum tiba di BSI,” katanya.
Semalam media melaporkan ribuan warga asing terperangkap dalam barisan panjang di dua pintu masuk darat Johor-Singapura berikutan gangguan teknikal. – UTUSAN








