BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akhirnya mencapai perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara Amerika Selatan selepas 25 tahun rundingan, meskipun berdepan bantahan daripada petani di beberapa negara Eropah.
Perjanjian itu dimeterai bersama blok perdagangan Mercosur yang merangkumi Brazil, Argentina, Paraguay dan Uruguay, dan masih memerlukan kelulusan Parlimen Eropah dalam beberapa bulan akan datang.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai hari bersejarah bagi multilateralisme selepas keempat-empat negara Amerika Selatan memuktamadkan perjanjian itu di Brussels.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan perdagangan global meningkat susulan pengenaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas beberapa negara di seluruh dunia, selain campur tangan ketenteraan AS baru-baru ini di Venezuela.
EU menyifatkan perjanjian itu, yang bakal menjadi perjanjian perdagangan bebas terbesar pernah dimeterainya, sebagai situasi ‘menang-menang’.
Namun, pengkritik memberi amaran kemasukan barangan import murah berpotensi menjejaskan petani Eropah, khususnya dalam sektor daging lembu, ayam dan gula.
Dalam satu hantaran di platform X, Presiden Lula berkata perjanjian itu menjadi isyarat sokongan terhadap perdagangan antarabangsa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, pada ketika dunia berdepan peningkatan dasar perlindungan dan tindakan unilateral.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, pula berkata, perjanjian berkenaan akan membawa manfaat ketara kepada pengguna dan perniagaan di kedua-dua rantau.
Selain mengukuhkan hubungan perdagangan dan politik, Suruhanjaya Eropah memaklumkan perjanjian itu turut membantu usaha menangani perubahan iklim melalui komitmen menghentikan penebangan hutan serta memastikan bekalan bahan mentah yang boleh dipercayai penting bagi peralihan global ke arah ekonomi hijau.
EU menjangkakan perjanjian tersebut dapat menjimatkan syarikat tempatan sekitar 4 bilion euro (RM18.9 bilion) setahun dari segi duti eksport.
Negara-negara Amerika Selatan pula kaya dengan sumber asli seperti emas, tembaga serta mineral kritikal yang diperlukan bagi teknologi tenaga boleh diperbaharui dan bateri. -AGENSI











