WASHINGTON: Protes terus merebak di seluruh Amerika Syarikat (AS) semalam, selepas seorang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) menembak mati seorang wanita di Minnesota.
Penunjuk perasaan terus bertempur dengan pegawai persekutuan di Minneapolis, bandar di mana kejadian tembakan terhadap Renee Nicole Good, 37 tahun, seorang ibu kepada tiga anak, berlaku pada Rabu.
Pegawai tempatan membatalkan sesi persekolahan pada Khamis dan Jumaat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kebimbangan kemungkinan rusuhan semakin meningkat.
Pertempuran dan penangkapan dilaporkan berhampiran bangunan persekutuan Whipple di pinggir bandar.
Rakaman oleh orang awam yang dimuat naik di media sosial menunjukkan ejen persekutuan menahan sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan di tengah laungan “Pulang” dan “Polis Negeri!”.
Di Bandar Raya New York, penunjuk perasaan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia ketika Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, mengadakan sidang media, beberapa jam selepas penunjuk perasaan berarak ke Dataran Foley pada Rabu.
Protes tambahan berlaku di beberapa bandar lain pada Khamis, termasuk Washington D.C., New York City, Seattle, Los Angeles, Chicago, dan lokasi-lokasi lain.
Presiden AS, Donald Trump dan pegawai lain mendakwa tembakan itu adalah tindakan mempertahankan diri untuk menghalang wanita tersebut daripada melanggar pegawai.
Namun saksi, rakaman video dan kenyataan Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, serta Gabenor Tim Walz, menimbulkan keraguan terhadap dakwaan itu, mendakwa Good mungkin cuba melarikan diri dan bukan berniat mencederakan pegawai.
Rakaman dari pelbagai sudut tersebar pantas di media sosial. Video tersebut menunjukkan pegawai yang menembak Good tidak berada di laluan kenderaannya ketika dia melepaskan tembakan.
Satu video nampaknya menunjukkan SUV Good berhenti di tengah jalan atas sebab tidak dinyatakan, dengan beberapa kenderaan persekutuan tanpa tanda muncul di jalan tersebut.
Pegawai-pegawai mendekati kereta Good, memberitahunya untuk ‘keluar dari kereta’ ketika seorang pegawai mencapai pemegang pintu semasa kereta itu bergerak mundur.
Seorang pegawai lain, yang identitinya belum didedahkan, melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta Good ketika dia memandu ke hadapan dengan stereng ke kanan.
Pegawai itu berdiri di sebelah kiri kenderaan ketika menembak. Kereta Good memecut sebelum terlanggar sebuah kenderaan putih yang diparkir di tepi jalan. Tidak jelas sama ada Good sudah meninggal dunia pada saat pelanggaran.
Video lain menunjukkan pegawai persekutuan menghalang orang awam memberikan rawatan perubatan kepada Good, termasuk seorang lelaki yang menyatakan dirinya seorang doktor.
Naib Presiden, JD Vance menuduh Good sebagai sebahagian daripada ‘rangkaian sayap kiri untuk menyerang, mencederakan dan menyukarkan pegawai ICE menjalankan tugas mereka’.
“Jika media ingin menceritakan kebenaran, mereka sepatutnya memberitahu sekumpulan radikal sayap kiri bekerja tanpa henti, kadang-kadang menggunakan teknik pengganas domestik untuk menyukarkan Presiden Amerika Syarikat melaksanakan tugas yang dipilih rakyat, iaitu menguatkuasakan undang-undang imigresen negara,” katanya.
Awal Khamis, Biro Penahanan Jenayah Minnesota memaklumkan menarik diri daripada siasatan selepas Pejabat Peguam AS menukar keputusan dan memberikan FBI kuasa tunggal untuk menyiasat kejadian tembakan maut itu.
“Tanpa akses penuh kepada bukti, saksi dan maklumat yang dikumpul, kami tidak dapat memenuhi standard siasatan yang ditetapkan undang-undang Minnesota dan rakyat,” kata BCA dalam kenyataan.










