PAPA Zola The Movie, yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Disember lalu, hadir lebih daripada sekadar hiburan. Di sebalik kisah animasi fiksyen sains dan komedi yang menghiburkan, filem ini menyorot realiti kehidupan penggiat ekonomi gig selain membuka ruang perbincangan tentang sisi kemanusiaan dalam ekonomi digital.
Watak Papa Zola digambarkan sebagai seorang bapa yang mencari rezeki sebagai penggiat gig, menghantar makanan dan melakukan pelbagai kerja sambilan demi kelangsungan hidup keluarga. Gambaran ini selari dengan realiti ramai pekerja gig yang bergelut dengan pendapatan tidak menentu dan keperluan menjalankan lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung kehidupan.
Filem ini mendedahkan cabaran sebenar yang dihadapi penggiat gig, dari menerima tugasan, menunggu pesanan disiapkan, memastikan penghantaran sampai dalam keadaan selamat, hingga berdepan tekanan masa dan jangkaan tinggi pelanggan. Semua ini menonjolkan beban kerja, tekanan emosi dan fizikal serta tuntutan masa yang sering diabaikan dalam naratif umum tentang pekerjaan gig.
Tidak semua perjalanan penghantaran berjalan lancar. Ada kalanya penggiat gig diuji dengan halangan di luar kawalan mereka. Namun, usaha dan komitmen tetap diteruskan demi menunaikan tanggungjawab.
Ketabahan ini menjadikan mereka penyumbang penting dalam ekosistem ekonomi gig, meskipun sering kurang dihargai. Dalam filem, Papa Zola menekankan pentingnya amanah dan kesungguhan dalam setiap tugasan.
Walaupun menghadapi kemarahan pelanggan, Papa Zola bersabar, pulang dengan tenang dan tidak membawa pulang masalah ke rumah. Sebaliknya, pengalaman itu dijadikan peluang untuk membawa kegembiraan kepada keluarga.
Konsep ihsan dalam penggunaan platform digital turut diketengahkan, dengan penggiat gig, pengguna dan penyedia platform digalakkan mengamalkan ketelusan, saling menghormati serta menyelesaikan kesilapan secara konstruktif.
Kesalahan kecil sepatutnya menjadi ruang untuk perbincangan dan penambahbaikan, bukan alasan menjatuhkan pihak lain.
Ekosistem gig yang matang dan sihat hanya dapat dibina melalui budaya saling menghormati, memperbaiki bersama dan memahami batasan tugas masing-masing.
Sikap empati, kesantunan dan toleransi adalah asas hubungan manusiawi dalam dunia kerja tidak formal. Papa Zola bukan sekadar animasi sebaliknya cerminan realiti penggiat gig dan mengingatkan kita bahawa kejayaan ekosistem ini bergantung kepada kerjasama semua pihak.
Filem ini mengajak penonton melihat penggiat gig bukan sekadar penyampai pesanan tetapi individu yang membawa harapan, tanggungjawab dan perjuangan dalam hidup mereka.
Ihsan, empati dan pemahaman bersama adalah kunci untuk menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang dalam ekonomi gig.
Dengan cara ini, dunia kerja tidak formal boleh menjadi ruang yang lebih manusiawi, adil dan memberi impak positif kepada masyarakat secara keseluruhan.-UTUSAN
DR. ADILAH ABDUL GHAPOR
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Pemutusan,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya









