Perlunya muhasabah, azam baharu

Perlunya muhasabah, azam baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DETIK peralihan tahun sering disambut sebagai simbol lembaran baharu kehidupan. Ini bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar, bahkan membawa mesej mendalam tentang perjalanan masa yang terus bergerak tanpa henti.

Setiap perubahan tahun menandakan berlalunya episod kehidupan yang sarat pengalaman, pencapaian, kegagalan serta pelbagai ujian yang menguji keimanan dan ketahanan jiwa.

Perspektif Islam memandang masa sebagai amanah besar, justeru peralihan tahun wajar dijadikan ruang muhasabah dan perancangan strategik bagi membina kehidupan lebih bermakna dan diredai Allah.

PERALIHAN tahun menurut perspektif Islam bukan sekadar peristiwa kronologi, bahkan peluang strategik untuk muhasabah, taubat dan pembaharuan azam.

Muhasabah
Muhasabah merupakan proses penilaian diri yang bertujuan meneliti sejauh mana ketaatan terhadap perintah Allah serta keupayaan meninggalkan larangan-Nya.

Umar ibn al-Khattab RA pernah berpesan: “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia”. (Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)

Tahun yang berlalu menyimpan pelbagai episod kehidupan sama ada kejayaan kerjaya, keharmonian keluarga, kesihatan fizikal mahupun cabaran emosi dan spiritual.

Setiap kejayaan seharusnya disyukuri sebagai anugerah Allah, manakala setiap kegagalan perlu diteliti sebagai ruang pembaikan.

Sikap menyalahkan keadaan atau pihak lain tidak membantu proses kematangan rohani, sebaliknya refleksi jujur terhadap kelemahan diri membuka pintu taubat dan perubahan.

Nabi SAW bersabda: “Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah”. (Riwayat al-Tirmizi, no.2459; Ibn Majah, no.4260)

Hadis ini memberi isyarat jelas bahawa muhasabah bukan sekadar amalan bermusim, malah menjadi rutin sepanjang kehidupan seorang mukmin. Peralihan tahun hanya berfungsi sebagai pencetus kesedaran yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Taubat
Taubat merupakan mekanisme penyucian jiwa yang mengembalikan hubungan hamba dan Pencipta. Islam membuka pintu taubat seluas-luasnya selagi hayat masih dikandung badan, sekali gus menolak sikap berputus asa terhadap rahmat Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah az-Zumar: 53)

Seruan ini memberikan kekuatan psikologi dan spiritual kepada insan untuk bangkit semula walau sebesar mana kesalahan yang pernah dilakukan.

Tahun baharu seharusnya dimulakan dengan hati yang bersih, niat yang lurus serta tekad meninggalkan kebiasaan dosa secara berperingkat dan berterusan.

Azam Baharu
Azam atau resolusi sering dikaitkan dengan sasaran material seperti kejayaan kewangan, pencapaian akademik atau kemajuan kerjaya. Islam tidak menolak cita-cita duniawi, namun menggariskan keperluan meletakkan matlamat tersebut seiring nilai tauhid dan akhlak.

Setiap perancangan perlu berpaksikan niat yang betul agar segala usaha bernilai ibadah.

Hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat” dan kenyataan kaedah fiqh: “Setiap perkara perlu berdasarkan niat” adalah menjadi asas utama dalam pembentukan azam baharu.

Niat yang ikhlas menjadikan rutin harian seperti bekerja, belajar dan berkhidmat kepada masyarakat sebagai amal soleh. Justeru, azam baharu seharusnya merangkumi dimensi rohani, intelektual, emosi serta sosial, bukan terhad kepada pencapaian luaran semata-mata.

Perancangan azam juga menuntut disiplin dan istiqamah. Islam menggalakkan amalan kecil tetapi berterusan, berbanding amalan besar yang bersifat sementara.

Ini pendekatan realistik dalam pembangunan diri, mengelakkan semangat berkobar-kobar pada awal tahun yang akhirnya pudar selepas beberapa minggu.

Perancangan Hidup
Islam mengajar konsep perancangan hidup yang seimbang antara usaha dan tawakal. Usaha tanpa pergantungan kepada Allah membawa kepada kesombongan, manakala tawakal tanpa usaha mencerminkan kefahaman agama yang pincang.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr: 18)

Nilai taqwa berfungsi sebagai kompas moral yang mengawal hala tuju azam dan perancangan. Kejayaan menurut Islam bukan sekadar pencapaian peribadi, bahkan melibatkan sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat dan keharmonian alam.

Azam baharu yang berlandaskan taqwa akan melahirkan individu berintegriti, amanah serta prihatin terhadap keadilan sosial.

Semangat Baharu
Semangat tahun baharu tidak wajar bersifat emosi sementara, sebaliknya perlu dibina atas kesedaran mendalam tentang tujuan hidup. Islam menekankan konsep sabar dan syukur sebagai dua elemen penting ketahanan jiwa.

Nabi SAW bersabda: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim, no.7692)

Setiap kejayaan memerlukan kesyukuran agar tidak terjerumus ke lembah kesombongan, manakala setiap ujian menuntut kesabaran agar tidak hanyut dalam keputusasaan.

Peralihan tahun menurut perspektif Islam bukan sekadar peristiwa kronologi, bahkan peluang strategik untuk muhasabah, taubat dan pembaharuan azam.

Masa yang berlalu tidak akan kembali, namun masa yang mendatang masih terbuka untuk diisi dengan amal berkualiti dan perancangan berteraskan taqwa.

Muhasabah yang jujur, azam yang ikhlas serta semangat yang berpaksikan nilai Islam mampu membentuk kehidupan lebih seimbang dan bermakna.

Kejayaan sebenar tidak terletak pada sejauh mana impian tercapai, sebaliknya diukur melalui ketaatan kepada Allah dan sumbangan positif kepada insan sejagat.

Tahun baharu 2026 seharusnya dimulakan sebagai medan memperbaharui janji kehambaan, memperkukuh hubungan sesama manusia serta melakar masa depan yang diredai Ilahi. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM). Dr. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×