Temu duga kerajaan tidak adil?

Temu duga kerajaan tidak adil?

PROSES temu duga perlu direformasi agar lebih manusiawi, berdasarkan potensi serta bukan pengalaman teknikal yang belum mereka miliki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM proses pengambilan kakitangan kerajaan, temu duga sering dilihat sebagai penentu masa hadapan calon. Namun, semakin ramai lepasan ijazah berpendapat soalan yang diajukan panel tidak selari dengan realiti kerja sebenar. Contohnya, soalan teknikal seperti “Apakah tugas jawatan ini?” kurang relevan bagi calon tanpa pengalaman.

Ironinya, panel temu duga sendiri pernah memulakan kerjaya tanpa pengetahuan penuh mengenai jawatan mereka. Kecekapan dibina melalui kursus, bimbingan rakan sekerja dan pengalaman kerja. Oleh itu, tidak wajar calon baharu diuji seolah-olah mereka sudah mahir sepenuhnya dalam tugas yang hanya dipelajari selepas dilantik.

Sistem temu duga yang adil harus mengambil kira titik permulaan calon. Bagi jawatan yang tidak memerlukan pengalaman, penilaian wajar menumpu kepada kemampuan berfikir kritis, komunikasi, integriti, minat terhadap perkhidmatan awam dan kesediaan menerima bimbingan.

Ujian psikometrik yang sedia ada sudah menilai personaliti dan kecenderungan calon. Temu duga sepatutnya melengkapkan, bukan menambah kekeliruan dengan soalan di luar konteks.

Lebih membimbangkan, terdapat laporan panel memberi perhatian lebih kepada penampilan atau gaya luaran berbanding kompetensi sebenar. Penilaian sebegini membuka ruang bias peribadi, sedangkan sektor awam memerlukan proses yang telus dan bebas daripada subjektiviti. Calon yang layak mungkin terpinggir hanya kerana faktor luaran, bukan kemampuan sebenar.

Penjawat awam berpengalaman tahu bahawa kecekapan tidak datang serentak sementara pegawai muda belajar melalui kesilapan, mentor dan latihan dalaman. Jika panel dahulu diberi ruang untuk berkembang, calon baharu hari ini juga wajar peluang sama.

Malaysia kini menuju perkhidmatan awam moden dan berprestasi tinggi. Keadilan dalam pemilihan calon penting bagi memastikan setiap yang layak mendapat peluang sama rata.

Dengan pendekatan realistik dan empati, temu duga kerajaan dapat memperkukuh nilai keterbukaan, profesionalisme dan keadilan, memastikan perkhidmatan awam memilih pegawai yang benar-benar komited, berintegriti dan sesuai dengan keperluan negara.-UTUSAN

 

CALON PEGAWAI KECEWA
Negeri Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×